Syazuwan Hassan. FOTO Instagram
Syazuwan Hassan. FOTO Instagram
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon Syazuwan Hassan mengakui tidak perlu mencipta kontroversi bagi memperkenalkan namanya kepada peminat.

Syazuwan, 30, berkata, dia sedar namanya belum dikenali ramai sepenuhnya walaupun sudah lima tahun aktif berlakon.

"Bakat saya dicungkil menerusi Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL 2016) dan sejak itu saya mula ditawarkan berlakon dengan banyak produksi.

"Sekarang saya tampil bawa watak utama dalam drama Mencari Kiblat Cinta yang ditayangkan di TV Okey. Namun saya akur, masih ramai orang yang belum mengenali saya sepenuhnya lagi. 

"Apapun saya nampak peningkatan dalam lakonan dipersembahkan walau belum betul-betul menyerlah," katanya kepada Harian Metro.

Syazuwan yang turut membintangi drama Bidadari Salju berkata, dia tidak putus asa walaupun sering ditanyakan soalan ini oleh pelbagai pihak.

"Saya tak kisah bermula dengan perlahan-lahan. Mungkin belum masanya untuk saya menggilap nama dan kecapi populariti.

"Populariti itu subjektif dan saya tidak tahu nak jawab macam mana. Tapi, saya okay sahaja kerana sekurang-kurangnya orang nampak hasil kerja saya dan suatu hari nanti pasti mereka akan lebih mengenali.

"Setakat ini, saya juga bebas kontroversi dan itu yang saya nak kekalkan dalam kerjaya saya ini," katanya.

Ditanya mengenai dirinya yang  lebih gemar membuat hal sendiri, Syazuwan tidak menafikannya.

"Saya sebenarnya sentiasa juga menjaga hubungan baik dengan rakan-rakan artis tapi, memang jaranglah melepak dengan mereka.

"Memang ini sikap saya. Jika tiada urusan, saya suka buat hal sendiri sahaja dan memang takkan akan buat benda-benda panas untuk cari tumpuan," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 12:36 PM