SHUK berjaya memujuk dan berbaik semula dengan isterinya, Rossalennah Natassiah Asshaferah.
SHUK berjaya memujuk dan berbaik semula dengan isterinya, Rossalennah Natassiah Asshaferah.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelawak, pengacara dan penyampai radio, Shuk Sahar berjaya memujuk dan berbaik semula dengan isterinya, Rossalennah Natassiah Asshaferah apabila membuat kejutan membawa rombongan meminang ke kediamannya, malam semalam.

Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 35, muncul mengenakan baju pengantin berwarna biru, memohon maaf secara terbuka kepada isterinya yang ketika itu membuat siaran langsung pelancaran produk kecantikan wajah.

Shuk berkata, dia memohon maaf dan mengakui segala kesilapan yang dilakukannya dan dia sangat menyayangi keluarganya itu.

"Saya mohon maaf dengan awak di atas semua kesilapan dilakukan. Memang saya mengaku buat salah dan saya harap awak dapat terima saya semula untuk keluarga kita. Saya sangat menyesal dan berjanji akan menjaga keluarga kita dengan baik. Saya takkan buat lagi kesilapan itu, janji dan maafkanlah saya," katanya.

Walaupun terkejut dengan kehadiran mengejut suaminya itu, Rossalennah menerima permohonan maaf dibuat Shuk.

Apatah lagi, keharmonian rumah tangga membawa lebih banyak rezeki untuk keluarga.

Shuk yang masih berdepan penggantungan perkhidmatan sementara di stesen radio Hot FM sangat berterima kasih dengan sahabatnya dikenali sebagai Joe yang membantu membuat kejutan bagi permohonan maaf berkenaan.

Terdahulu, pergolakan semula rumah tangga Shuk dan Rossalennah tular di media sosial berikutan pendedahan dibuat wanita itu yang mendakwa suaminya curang.

Menerusi beberapa hantaran yang dimuat naik Rossalennah di Instagram, dia mendedahkan Shuk masih lagi mempunyai hubungan dengan wanita sama yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini.

Shuk dan Rossalennah mendirikan rumah tangga pada 2015 dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Nur Qurratu Ain, 4, dan Nur Assyifatu Aimi, 1.

Baru-baru ini, sebelum berjaya memujuk dan berbaik semula dengan isterinya, Shuk memuat naik dua video di Instagram dia bertemu dengan anak-anaknya untuk melepas rindu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 5:49 PM