GEMA Haflah Munajat TVAH.
GEMA Haflah Munajat TVAH.
Sudirman Mohd Tahir


KITAB suci al-Quran bukan sekadar peninggalan Rasulullah SAW semata-mata.

Mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW ini terkandung di dalamnya 1,001 penawar yang mampu menghilangkan resah, menyembuhkan duka serta memberi penyelesaian kepada semua permasalahan kehidupan.

Islam memberitahu bahawa pembaca al-Quran yang baik itu bukan sahaja meyebut kalimah al-Quran dengan betul, namun pada masa yang sama akalnya harus mentadabbur makna dan memahami pengertian, sementara perasaannya turut sama menghayati tuntutan al-Quran dan khusyuk kepada Yang Maha Mencipta.

Maka tidak hairanlah rancangan Haflah yang ditayangkan di TV Alhijrah pada Disember lalu selama lapan episod mendapat tempat di hati penonton yang kebanyakannya berasakan peri pentingnya mempelajari ilmu tarannum sebagai menunaikan hak tilawah al-Quran sebaiknya.

Malah, ramai mahukan rancangan ini harus diteruskan agar malam penonton dihiasi dengan pesta al-Quran yang mendamaikan.

Tidak mahu menghampakan penonton, TV AlHijrah bakal menyiarkan rancangan Gema Haflah Munajat yang menjadi kemuncak buat rancangan Haflah yang tamat siarannya pada 23 Januari lalu.

Gema Haflah Munajat akan ditayangkan Sabtu ini jam 9 malam secara langsung.

Menerusi Gema Haflah Munajat, hati penonton akan disirami dan dibajai dengan pembacaan ayat suci al-Quran dengan penuh tertib dan menggunakan maqam seni taranum seperti Bayati, Nahawand, Rast, Jiharkah, Sikah dan Hijaz.

QARI Ahmad Tirmizi.
QARI Ahmad Tirmizi.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah Namanzee Harris berkata, bagi memberikan kelainan pada sesi siaran langsung itu, Gema Haflah Munajat menampilkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai tetamu istimewa yang berperanan sebagai pentausiyah.

"Tambah menarik, beliau akan bersama barisan qari kebangsaan yang akan mengalunkan bacaan doa yang dipetik daripada surah al-Quran dengan penuh kelunakan dan tertib.

"Doa ini mampu mendamaikan nurani penonton di saat ketidaktentuan yang berlaku disebabkan kebimbangan terhadap peningkatan penularan Covid-19.

QARI Wan Ainuddin Hilmi.
QARI Wan Ainuddin Hilmi.

"TV Alhijrah berkeyakinan bahawa rancangan Gema Haflah Munajat mampu memberi nilai tambah di dalam kehidupan seharian penonton serta sesuai dijadikan bahan tontonan hujung minggu seisi keluarga," katanya.

Antara qari kebangsaan yang terbabit ialah Ustaz Ahmad Tirmizi Ali, Ustaz Ahmad Tarmizi Abd Rahman, Dr Anuar Hasin, Ustaz Wan Ainuddin Hilmi, Ustaz Wan Fakhrul Razi, Ustaz Abdul Khair Jalil, Ustaz Amirahman Abbas dan Ustaz Azraie Abdul

Hak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 6:30 AM