SYAZUWAN mahu dikenali melalui hasil kerja.
SYAZUWAN mahu dikenali melalui hasil kerja.
Najiy Jefri

Walaupun tiada kontroversi yang menghangatkan namanya, tawaran lakonan yang diterima Syazuwan Hassan tetap ada.

Malah selepas tamat dengan Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) empat tahun lalu, rezekinya tetap mencurah dalam bidang lakonan.

"Alhamdullillah jadual lakonan saya padat sehingga Mac tahun depan. Nak kata saya baik dengan penerbit tidak juga, sebab ada juga saya bekerjasama dengan penerbit yang saya tak kenal.

"Mungkin ia adalah hasil kerja saya yang mereka nampak dan mungkin juga disebabkan sehingga hari ini saya tidak pernah mempunyai masalah dengan mana-mana produksi dari segi 'call time', disiplin dan sebagainya," katanya.

Di sebalik bersih tanpa sebarang kontroversi, pelakon drama Bidadari Salju itu mengakui pernah menerima cadangan beberapa pihak untuk mencipta kontroversi supaya namanya lebih dikenali.

Bagaimanapun, Syazuwan berkata, dia enggan dikenali kerana kontroversi, sebaliknya ingin khalayak melihat hasil kerjanya.

"Ada rakan-rakan dalam industri yang menyarankan saya buat kontroversi untuk menaikkan nama saya. Jujurnya saya tidak gemar nama saya popular disebabkan kontroversi, saya mahu orang kenal saya menerusi hasil kerja saya. Jadi untuk saya sengaja cipta kontroversi untuk menaikkan nama saya, tidak.

"Sebab kita tahu ada kontroversi yang boleh menaikkan dan ada juga yang boleh menjatuhkan nama. Biarlah saya membina nama saya dengan lakonan walaupun ia agak memakan masa," katanya.

Menurut Syazuwan, dia tidak menafikan dunia populariti mudah membawa seseorang selebriti itu terjerumus ke dalam masalah sosial, apatah lagi dengan datangnya pelbagai godaan.

Enggan terjerumus ke lembah maksiat, Syazuwan menjelaskan, dia berpegang teguh pada prinsipnya untuk sentiasa menjaga nama baik diri sendiri dan keluarganya.

"Saya tidak menafikan sering mendapat mesej-mesej nakal di sosial media. Memang saya tak layan langsung kerana kebanyakan mesej yang saya dapat itu pelik.

"Contohnya, ada wanita yang mengajak saya berjumpa, saya tanya atas dasar kerja atau apa, dia kata tidak, dia kata dia ada permintaan mahu mengajak melakukan perkara yang tidak sopan.

"Kalau daripada akaun palsu saya tak kisah sebab ramai saja yang buat akaun palsu untuk mengacau tapi saya dapat mesej sebegitu dari bukan akaun palsu, maksudnya pemilik akaun itu memang ada. Kemudiannya saya membalas dengan teguran, kerana tidak mahu ia berlarutan," katanya yang kini sedang menjalani penggambaran drama Baby Tak Gila.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 6:50 AM