INTAN Najuwa simpan sendiri segala apa yang berlaku. FOTO arkib NSTP
INTAN Najuwa simpan sendiri segala apa yang berlaku. FOTO arkib NSTP
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Intan Najuwa enggan mendedahkan secara terperinci mengenai hubungan cintanya dengan bekas tunang  Razrul Anwar Rusli, 40, yang dikatakan sudah berputik kembali. 

Intan berkata, dia lebih selesa mengambil pendekatan untuk merahsiakan apa saja hal berkaitan peribadinya. 

"Sebenarnya hubungan kami masih baik. Itu sahaja yang boleh saya katakan. Nak ulas lebih lanjut mengenai sejauh mana hubungan kami, saya taknak komen.

"Pengalaman lalu banyak mengajar saya, jadi lebih baik saya simpan sendiri segala apa yang berlaku dalam hubungan saya. Lagipun ada banyak hati yang perlu dijaga seperti pihak keluarga saya serta pihak di sebelah sana juga. Jadi, ada baiknya saya berdiam dan ikut saja apa yang ditentukan. 

"Doakan hubungan kami berada dalam keadaan yang baik," katanya. 

Terdahulu Intan pernah bertunang dengan Razrul pada 18 Ogos 2019 tetapi hubungan mereka putus pada Februari 2020.

Bagaimanapun Intan kembali memuat naik foto mesra bersama Razrul sekitar Jun tahun lalu tetapi tidak menjelaskan status terkini hubungannya dengan lelaki berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Intan kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri terbitan Zeel Production berjudul Tak Sempurna Mencintaimu untuk slot Akasia TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 9:28 PM