LAGU Ittihad daripada Rabbani muncul lagu Nasyid Terbaik.
LAGU Ittihad daripada Rabbani muncul lagu Nasyid Terbaik.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur:  Lagu Ittihad nyanyian Rabbani diangkat sebagai Lagu Nasyid Terbaik pada acara Anugerah Nasyid Malaysia 2020 atau dikenali ANAM 2020.yang disiarkan secara labgsung di TV1, malam ini.

  Selain anugerah utama itu, lagu Ittihad juga membawa dua lagi kemenangan buat Rabbani untuk anugerah Vokal Nasyid Terbaik dan  Lirik Nasyid Terbaik oleh Ito Lara.

  Jika Rabbani menang tiga anugerah, Inteam juga membawa pulang dua trofi kemenangan melalui Artis Nasyid Pilihan berdasarkan undian dan Anugerah Kembara.

Bagi Anugerah Khalifah pula diterima Raihan berikutan pelbagai kejayaan sudah dikecap kumpulan itu sepanjang dua dekad terus bertahan dalam perjuangan industri nasyid tanah air.

  Sehubungan itu, beberapa kategori   lain seperti  Artis Nasyid Baharu Pilihan dimenangi Aniq Muhai, Anugerah Nasyid Nusantara Pilihan (Sabyan dari Indonesia), Rakaman Lagu Nasyid Terbaik  (Amin Nordin menerusi lagu Sakit) serta Susunan Muzik Nasyid Terbaik dimenangi Omar K.

  Manakala, untuk anugerah Video Muzik Nasyid Terbaik, tiada pemenang kerana mengikut penjelasan juri, Habsah Hassan mmaklumkan tahap penghasilan  menepati jalan cerita lagu tidak mencapai penilaian ditetapkan.

  Sehubungan itu, ANAM 2020 yang dianjurkan buat kali pertama oleh Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia), mendapat sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan RTM sebagai penyiar rasmi.

  Tidak ketinggalan, penganjuran  ANAM 2020 juga disokong penuh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Taqwa MAIWP dan Pusat Pungutan Zakat MAIWP sebagai rakan strategik.

  Apa yang pasti, ANAM 2020 yang menggandingkan Hafiz Hamidun dan Fara Fauzana sebagai pengacara, turut mencatat 'trending' nombor satu di platform media sosial.

  Penjurian ANAM 2020 pula membabitkan lapan juri profesional daripada kalangan penggiat muzik berpengalaman dan tanggungjawab ketua juri digalas Farihin Abdul Fatah.

Bagi memeriahkan acara, barisan penyanyi yang membuat persembahan ialah Raihan, Rabbani, Hijjaz, Brothers dan Inteam ternasuk, Datuk Jamal Abdillah, Naim Daniel, Khai Bahar, Colour of Voices, Saujana dan ramai lagi.

Manakala, selebriti yang tampil di pentas menyampaikan anugerah kepada pemenang adalah Altimet, Datuk Nash, Along Exists, Imam Muda Ashraf, Munif Hijjaz dan Ustaz Amal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 11:38 PM