Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Kos sebanyak RM60,000 untuk pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) untuk menstabilkan denyutan jantung pelakon, pelawak dan penulis lirik popular, Bob Lokman, 56, berjaya dikumpul dalam tempoh dua hari hasil sumbangan orang ramai dan pelbagai pihak.

Bob ketika dihubungi berkata, dia akan dimasukkan ke sebuah hospital di Selangor esok dan jika semua pemeriksaan lancar, pembedahan itu boleh dilakukan.

"Namun, bila tarikh sebenar pembedahan, saya tidak tahu lagi. Semuanya bergantung dengan pemeriksaan doktor," katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Bob turut mengakui perasaannya kini 'lain macam' untuk menjalani pembedahan itu.

"Apa perasaan saya yang sebenar, hanya Allah yang tahu. Tapi, memang lain macam sikit walaupun ikutkan ini adalah pembedahan kali keempat saya. Harap semuanya selamat dan saya kembali sihat semula. Mohon sama-sama doakan saya untuk pembedahan ini," katanya.

Bob berkata, dia berharap keadaan kesihatannya lebih baik selepas menjalani pembedahan jantung berkenaan.

Mengulas keadaan kesihatannya, Bob berkata, keadaannya lebih baik tetapi dia tidak boleh terlalu banyak bergerak kerana cepat berasa penat.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang sudah membantu menghulur sumbangan dan saya juga mohon maaf kepada semua di atas kesilapan dan kesalahan dalam kerjaya seni saya. Maafkan segala dosa saya sekiranya sudah membuat anda semua marah, benci dan tidak suka pada lawak dan lakonan saya ketika aktif dahulu," katanya.

Bob yang turut menghidap beberapa penyakit kronik lain memaklumkan memang rutin bulanannya menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital.

Katanya, kos ubat-ubatannya setiap bulan mencecah RM700 dan dia bersyukur masih ada rakan-rakan, pihak berkaitan dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Muslim Care Malaysia menghulurkan bantuan.

Menurut Bob, bagi menyara keluarga ketika ini dia bergantung kepada pendapatan hasil jualan tempahan makanan yang disediakan isterinya, Relawati Daud.

Bagi yang ingin memberi sumbangan boleh ke akaun Maybank bernombor 162348359386 atas nama Relawati Daud (isteri Bob) atau akaun Maybank bernombor 564490211159 atas nama Muslim Care Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 4:03 PM