RUPERT GRINT
RUPERT GRINT
Agensi

London: Bintang filem Harry Porter, Rupert Grint, 32, yang popular dengan watak Ron Weasley dalam filem itu akhirnya membuka akaun Instagram rasmi yang dilihat 'menyepi' selepas kali terakhir membintangi sekuel Harry Porter and the Deadly Hallows Part 2 pada 2011. 

Apa yang menarik, dalam tempoh 13 jam dia memuat naik hantaran pertamanya, akaun Intagram @rupertgrint berjaya meraih 1.8 juta pengikut. Hantaran pertamanya iaitu gambar dia mendukung bayi perempuannya, Wednesday G Grint menerima lebih 1.4 juta tanda suka dan hampir 70,000 komen. 

"Hey Instagram. Hanya lewat 10 tahun, tapi saya di sini sekarang. 'Grint on the Gram'! Di sini saya perkenalkan kepada ada semua, Wednesday G Grint," tulisnya.  

Selepas kali terakhir berlakon dalam sekuel Harry Porter itu pada 2011, ramai tertanya-tanya mengenal 'kehilangan' Grint. Kemudian, dia dilaporkan berkahwin dengan pelakon Georgia Groome, 28, pula.

Pada Mei lalu, pasangan terbabit mengesahkan mereka dikurniakan anak sulung. Pengumuman itu dibuat sebulan selepas memberitahu mereka bakal bergelar ibu bapa.

Tahun lalu, pasangan itu mencetuskan tanda tanya sama ada sudah sah berkahwin atau tidak. Ia disebabkan Grint dilihat memakai cincin getah pada jari manisnya pada sebuah acara.

Pada sekitar 2018, Grint pernah menyatakan dia ingin berkeluarga. Bagaimanapun, dia menyerahkan semuanya kepada takdir untuk hajatnya dikabulkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 1:08 PM