Kumpulan Dolla.
Kumpulan Dolla.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Kumpulan Dolla yang kini meraih perhatian media antarabangsa terutama di Korea Selatan selepas dikatakan jelmaan BLACKPINK menyifatkan ia satu kejutan tak diduga mereka.

Dolla yang dianggotai empat wanita iaitu Sabrina atau Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya juga makin popular dengan lagu Make You Wanna.

Mengulas mengenai perhatian dari media luar negara itu, Sabronzo ketika dihubungi berkata, mereka sangat bersyukur dan menganggapnya sebagai pendedahan lebih luas untuk perjuangan muzik mereka pergi  jauh.

"Laporan itu tidak memburukkan Dolla sebaliknya perbandingan dengan BLACKPINK itu pun pernah diperkatakan sebelum ini. Ditambah, komen-komen dan kritikan yang kami terima daripada penonton lagu kami dari negara lain pun tidaklah mengecam tetapi, ramai yang memberikan sokongan positif," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Sabronzo, cerita yang mengaitkan Dolla dan BLACKPINK itu mula dibahaskan warganet sejak awal kemunculan lagu Make You Wanna sekitar Mac lalu. Cuma, tak sangka sekarang ia dihangatkan semula.

"Apapun, dengan populariti tak diduga yang Dolla peroleh ketika ini dirasakan masa yang baik untuk kami sebelum pelancaran lagu kedua berjudul Impikan pada Jumaat ini. Dengan sedikit perhatian yang kami dapat daripada media dan penonton dari luar negara ini disifatkan masa sangat tepat untuk lagu Impikan dilancar. Ia akan memberi peluang mereka menilai konsep muzik Dolla yang sebenar," katanya.

Menurut Sabrina, dia sangat berterima kasih kepada peminat Dolla yang banyak membuat perkongsian artikel berita terkini mereka yang turut mendapat liputan media dari Singapura dan Indonesia.

Terdahulu, artikel mengenai Dolla dipaparkan dalam portal berita Korea Selatan www.allkpop.com yang menyentuh mengenai perbandingan kumpulan itu dengan BLANKPINK yang kini sangat gah popularitinya. 

Artikel berkaitan Dolla yang diambil daripada sebuah portal akhbar tempatan itu secara tidak langsung mendapat perhatian daripada ramai pembaca di Korea Selatan terutama peminat BLACKPINK. 

Ia sekali gus membuatkan nama Dolla menjadi 'sohor kini' di laman Twitter, termasuk muzik video Make You Wanna juga naik mendadak dan mencatat peningkatan lebih 80,000 tontonan di YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 4:52 PM