AYU DAMIT
AYU DAMIT
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi yang juga bintang Gegar Vaganza musim ke-7 (GV7), Ayu Damit menafikan dakwaan netizen yang mengatakan dia melakukan suntikan pada dagu untuk kelihatan runcing.

Ayu berkata, dia sebenarnya mengalami alahan makanan yang teruk hingga menyebabkan dagunya membengkak.

"Saya pernah beritahu sebelum ini yang saya ada alahan dan dagu saya sedikit membengkak. Ia berlaku selepas saya makan makanan yang menyebabkan gatal dan bawah dagu saya terluka. Lebih teruk apabila saya memakai tudung dan bergesel dengan tempat alahan itu. Tuduhan mengatakan saya membuat suntikan di bahagian dagu tidak berasas sama sekali," katanya.

Menurut Ayu, dia memohon netizen dan semua pihak bersangka baik dan tidak melulu-lulu membuat spekulasi yang tidak berasas mengenai apa-apa isu atau sesiapa sahaja.

"Diharapkan jangan cerita pasal itu, fokuslah pada nyanyian dan persembahan saya sepanjang GV7 ini," katanya.

Sebelum ini, tular di Twitter apabila ada dakwaan mengatakan wajah Ayu kelihatan semakin berbeza di kaca televisyen dan menuduhnya melakukan rawatan kosmetik pada bahagian dagu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 4:48 PM