Michael B Jordan
Michael B Jordan
Agensi

Los Angeles: Bintang filem Black Panther, Michael B Jordan, 33, sedia menakluk 'alam semesta' untuk orang berkulit hitam apabila DC memberikan mandat kepadanya menerbitkan filem adiwira, Static Shock.

Jordan menyifatkan peluang itu satu penghormatan besar terutama apabila filem terbabit akan mengetengahkan adiwira berkulit hitam.

Sehubungan itu, Jordan berjanji syarikat produksinya, Outlier Society akan menghasilkan yang terbaik.

"Saya sangat bangga menjadi sebahagian daripada pembina baharu 'alam semesta' yang memfokuskan kepada orang berkulit hitam. Komuniti kami berhak mendapat peluang ini.

"Outlier Society sangat komited untuk menghidupkan watak dari komik itu. Kami juga teruja menjadi rakan kongsi Reggie dan Warner Bros dalam memulakan langkah ini," katanya.

Terdahulu, pengarah Reginald Hudlin mendedahkan mengenai penerbitan filem Static Shock pada Ogos lalu di program DCFanDome.

Static Shock mula diperkenalkan pada 1993 oleh Milestone Comics dan diedarkan DC. Syarikat terbabit dipelopori penulis berkulit hitam yang bertujuan menghasilkan komik lebih kepada kepelbagaian warna kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 12:35 PM