SHUIB berkongsi gambar kereta yang sudah dikembalikan padanya di lnstagram. FOTO IG Shuib Sepahtu
SHUIB berkongsi gambar kereta yang sudah dikembalikan padanya di lnstagram. FOTO IG Shuib Sepahtu
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Ya, memang kereta saya yang tular itu, " kata pelawak dan penyampai radio, Shuib Sepahtu yang mengaku mengenai status keretanya selepas disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Kereta jenis Ford itu menjadi salah satu kenderaan dalam puluhan kereta mewah yang disita oleh pihak berkuasa terbabit.

Menurut Shuib, apa yang pasti menjadi kewajipannya untuk memberi kerjasama sebaik mungkin dalam siasatan berkenaan. Namun, dia bersyukur kereta terbabit sudah dikembalikan padanya.

"Alhamdulillah, saya dah dapat semula kereta ini. Syukur sangat, ia sudah dikembalikan pada saya.

"Memang saya tahu, pelbagai fitnah sudah dilemparkan di media sosial buat masa ini.

"Bagaimanapun, saya perlu menghormati pihak berkuasa yang masih menjalankan siasatan," katanya ringkas.

Apa yang pasti, Shuib kini tetap cekal memberi fokus untuk kerjaya seninya dan perniagaan diceburi.

Kelmarin, Shuib berkongsi gambar kereta itu di lnstagram miliknya dan ia mengundang perhatian warganet.

Rata-rata, warganet yang menulis komen mengharapkan Shuib terus tabah berhadapan dugaan dialami dan banyak juga kata- kata semangat diberikan.

Ternyata, Shuib sangat positif. Biarpun harus melalui kecaman hebat daripada netizen, dia tidak pernah berhenti untuk selalu mempronosikan perniagaan minuman, Bubblebee diusahakan.

Malah, paling menarik perhatian pastinya isteri tercinta Shuib iaitu penyanyi Siti Sarah yang sentiasa bersamanya memberikan kata semangat dan doa berterusan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 7:05 PM