Georgie Joseph

PRIHATIN terhadap isu semasa berkaitan skim atau sindiket penipuan yang tidak berkesudahan, tiga penyanyi rap muda iaitu B-Heart, Kmy Kmo dan Joe Sharel tampil dengan lagu berjudul Conlu17.

Lagu ini tidak lain bertujuan untuk memberi 'amaran' kepada dalang penipuan yang semakin berleluasa di seluruh dunia sehingga ramai dijerat menjadi mangsa.

Tidak dinafikan, isu sebegini bukan saja terkena kepada orang biasa, bahkan turut menyasarkan penggiat seni.

Disebabkan itu, tiga anak muda ini berharap dapat mencetuskan kesedaran kepada orang ramai untuk lebih serius mengambil berat berkaitan isu ini dan sentiasa berwaspada.

Begitu juga dalang yang gian mencari mangsa, semoga mereka hentikan aktiviti penuh agenda jahat itu.

Berkongsi mengenai lagu ini, B-Heart berkata, Conlu17 adalah projek pra lagunya sebelum tampil melancarkan karya baharu selepas ini pula.

Bergandingan dengan Kmy Kmo dan Joe Sharel, dia turut teruja apabila Rauzan Rahman menjadi penerbit.

Sekali gus, akuinya ia menjadikan lagu Conlu17 lebih bermakna. Dia juga berharap, mesejnya akan sampai dan disimpan rapi setiap pendengar.

"Single Conlu17 saya tulis bersama Kmy Kmo dan Joe Sharel, manakala untuk proses belakang tabir pula, saya dan Rauzan banyak main peranan dalam penghasilannya. Mesej yang cuba disampaikan dalam lagu ini adalah mengenai 'con man'.

CONCLU17 hasil garapan tiga bakat muda, B-Heart, Kmy Kmo dan Joe Sharel.
CONCLU17 hasil garapan tiga bakat muda, B-Heart, Kmy Kmo dan Joe Sharel.

"Dalam skim penipuan 'con man' dikenali sebagai individu atau kumpulan menggunakan tipu helah demi mengaut keuntungan untuk diri sendiri. Pada masa sama, lagu ini berperanan untuk memberi amaran kepada mereka yang cuba mengambil kesempatan terhadap periuk nasi artis artis tempatan.

"Tidak dilupakan, liriknya juga sarat unsur nasihat. Inspirasi lagu ini, saya raih daripada sesetengah lagu yang saya dengar daripada filem pernah ditonton sebelum ini," katanya.

Melihat gandingan mereka bertiga, tentu sekali Conlu17 adalah sebuah lagu yang menekankan kepada konsep segar dengan lirik padu.

Apatah lagi, mereka juga adalah pendatang baharu yang cukup mengutamakan kualiti dalam karya dihasilkan.

Menurut B-Heart, dia sangat gembira dengan kerjasama terjalin itu memandangkan mereka bertiga sekian lama bersahabat. Lantas, proses penghasilannya jadi lebih mudah dan menyeronokkan.

"Bekerja dengan Kmy Kmo dan Joe Sharel menjadikan proses menyiapkan lagu itu jadi jauh lebih senang. Bukan saja masing-masing memberikan hasil nyanyian terbaik, bahkan setiap aspek kami lakukan secara terperinci untuk mendapatkan kualiti paling maksima.

"Ya, ada masanya kami selang-selikan proses itu dengan bergurau senda, tapi kebanyakan masa kami buat dengan serius dan bersungguh-sungguh. Yang pasti, memang sangat menyeronokkan apabila dapat bergandingan dengan mereka berdua memandangkan kami semua berasal dari kampung halaman sama iaitu di Kuantan, Pahang.

"Persahabatan kami pun bukan baharu terjalin semalam, sebaliknya sudah kukuh sejak 2012. Mereka sudah saya anggap ahli keluarga sendiri dan bukan sekadar rakan seperjuangan dalam industri muzik," katanya.

CONLU17 sebuah lagu yang menekankan konsep segar dengan lirik padu.
CONLU17 sebuah lagu yang menekankan konsep segar dengan lirik padu.

Menariknya, idea asal lagu ini bukan baharu dan B-Heart mengakui aspek itu turut menerbitkan sedikit cabaran dalam penghasilan Conlu17.

Bagaimanapun, dia tidak melihat ia penghalang untuk merealisasikan idea terbabit memandangkan isu cuba diutarakan itu masih kekal relevan sehingga sekarang.

Dari satu sudut lain, B-Heart juga mengakui beruntung apabila pembabitan Rauzan sangat membantu untuk memantapkan lagi idea terbabit.

"Secara jujur penghasilan lagu ini sebenarnya disiapkan pada 2017, namun terpaksa 'diperap' atas faktor tidak dapat dielakkan. Paling mencabar mengenai pembikinan lagu ini adalah persoalan sama ada ia masih relevan atau tidak untuk edaran semasa, namun kami cabar diri dan ambil risiko itu.

"Tentu sekali agak mencabar untuk memasukkan idea baharu dalam lagu ini. Secara keseluruhannya, kami perlu gubah keseluruhan lagu untuk menjadikan bunyinya lebih segar. Di situlah, Rauzan memainkan peranan penting untuk memberikan sentuhan magisnya," kata B-Heart.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 6:30 AM