Kumpulan Dolla
Kumpulan Dolla
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Kumpulan Dolla yang makin popular dengan lagu Make You Wanna tidak melatah apabila penampilan mereka dikaitkan terlalu seksi dalam video muzik dihasilkan.

Dianggotai Sabrina atau Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya, Dolla enggan terlalu memikirkan kritikan atau kecaman segelintir netizen yang mungkin kurang menyenangi penampilan mereka.

Menurut Sabronzo, soal Dolla dikaitkan dengan penampilan seksi itu memang diketahui mereka, tetapi baginya itu pandangan masing-masing.

"Apa yang boleh dikata, ia 'own style' (gaya tersendiri) Dolla. Kami masih dalam proses belajar dan soal terlalu seksi dalam video muzik, Make You Wanna itu adalah keputusan bersama.

"Kami sebenarnya berbincang juga dengan syarikat rakaman dan ia keputusan yang dicapai dengan kata sepakat di antara kedua-dua belah pihak," katanya.

Mengulas juga mengenai dikecam teruk netizen, Angle dan Tabby berkata walaupun dikritik hebat, tapi realitinya penampilan Dolla memang begitu.

"Apatah lagi, sebagai penyanyi baharu, kami cukup bekerja keras.

Kami tidak kisah dikecam kerana masih belajar dan menimba pengalaman.

"Tak dinafikan, keluarga terutama ibu bapa pun ada nasihatkan supaya tidak terlalu seksi. Apapun, kami dah biasa seksi ketika belajar di luar negara dahulu," kata mereka.

Mengulas juga Dolla yang dikata masih kurang dikenali, Sabronzo tidak menafikannya kerana lagu Make You Wanna dilancarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

"Kami melancarkan lagu pertama Dolla, Make You Wanna secara dalam talian (online) dan tak dapat melakukan aktiviti promosi sertavpublisiti secara menyeluruh kerana PKP ketika itu. 

"Jadi, peminat juga tahu mengenai lagu Dolla menerusi video muzik di  YouTube yang dikecam terlalu seksi itu. Apapun, yang pasti kami akan muncul dengan lagu kedua Dolla tidak lama lagi," katanya.

Dolla dijangka bakal melancarkan lagu kedua mereka berjudul Impikan pada hujung Oktober ini. Apapun, kini lagu Make You Wanna sering disiar radio dan masih bertahan dalam carta lagu popular.

Sehubungan itu, video muzik lagu Make You Wanna yang diterbitkan Universal Music sudah mencatat lebih 1.7 juta tontonan di YouTube sejak dimuat naik sekitar enam bulan lalu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 12:24 PM