ALVIN (kiri).
ALVIN (kiri).
Norhayati Nordin


PENYANYI dan pelakon, Alvin Chong, 30, akan berhati-hati untuk menjalin kerjasama dengan bakat baru di bawah umur bagi mengelak dirinya dipalit kontroversi lagi.

Ia berikutan penyanyi lagu Sayang Salmah itu dipalit kontroversi di media sosial baru-baru ini selepas didakwa menjalin cinta dengan remaja bawah umur yang juga bintang Tik Tok dikenali Athalia Deena Buswani, 17, yang juga anak kepada penyanyi Sharifah Zarina.

Lebih hangat lagi, Alvin turut dilabel pedofil oleh segelintir netizen. Tidak kurang juga, ada netizen yang mengatakan pelakon drama Awak Suka Saya Tak itu sekadar membuat gimik.

Walaupun tidak melatah dengan pelbagai dakwaan dilemparkan, Alvin berkata, dia tampil mengadakan sidang media hari ini untuk menjelaskan perkara sebenar.

Katanya, ia sebagai tanggungjawab selaku rakan yang mengenali Athalia apabila gadis itu menjadi 'mangsa buli' netizen kerana dakwaan bercinta dengannya.

"Di antara saya dan Athalia, kami memang tiada apa-apa hubungan istimewa termasuk bercinta seperti didakwa segelintir netizen dan kecoh di Twitter. Saya berurusan dengan Athalia pun kerana soal kerja sahaja.

"Saya pun sebenarnya agak terkejut juga dengan tuduhan berkenaan yang hangat secara tiba- tiba. Hubungan kerja kami sudah disalah anggap sehingga mencetuskan kontoversi dan serangan buli dalam talian.

"Kasihan pada Athalia kerana dia berasa sangat terganggu memandangkan kini dalam persediaan menghadapi percubaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya

Menurut Alvin, dakwaan mengatakan dia adalah pedofil itu juga menyebabkan kerjasamanya dan Athalia untuk sebuah syarikat aplikasi dibatalkan dan mereka kehilangan kerja bernilai puluhan ribu ringgit selepas reputasi imej jatuh.

Mengulas juga tindakan bakal diambil, Alvin berkata, walaupun imejnya terjejas disebabkan isu itu dan sangat terkilan, namun dia tidak merancang untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Saya tidak agresif macam itu (hingga nak saman). Tujuan saya adakan sidang media ini pun untuk jelaskan perkara sebenar, selain berharap orang yang buat fitnah itu boleh sedar diri dan tidak melakukannya kepada orang lain pula.

"Apapun, saya juga tidak menyalahkan netizen sebab faham ini adalah budaya kehidupan masyarakat masa kini. Mereka lebih suka untuk meninggalkan komen-komen yang tidak masuk akal daripada mendengar penjelasan sebenar," katanya.

Menurut Alvin, dia juga tidak mengambil langkah menjawab atau membuat penjelasan terus di media sosial kerana yakin pasti ramai yang tidak mempercayainya.

Katanya, selepas penjelasan lanjut pada sidang media dibuat ini, semoga netizen dapat menghentikan segala dakwaan palsu berkenaan. Sudah tiada apa perlu terus dikongsikan lagi di media sosial.

Sementara itu, Athalia yang hadir bersama ibunya, Sharifah Zarina berkata, dia mengharapkan segala spekulasi yang timbul itu berakhir segera.

"Saya hadir di sini untuk tampil memberi penjelasan sebenar. Saya harap sangat isu ini berakhir kerana tidak mahu pelajaran terganggu. Kami memang tiada apa- apa hubungan istimewa," katanya.

Bagi Sharifah Zarina pula, dia sentiasa mengetahui gerak-geri dan urusan anaknya apabila di luar. Katanya dia yang selalu menguruskan Athalia ke sekolah atau di mana saja.

"Saya tahu sepenuhnya mengenai urusan Athalia termasuk urusan pertemuannya dengan Alvin. Ini kerana saya yang menghantar Athalia ke mana-mana dan tahu dengan siapa dia berjumpa," katanya.

Terdahulu, ketiga-tiga mereka disatukan pada acara sidang media diadakan di pejabat Universal Music Malaysia, Petaling Jaya hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 6:55 PM