KIM Won Hae jalani kuarantin.
KIM Won Hae jalani kuarantin.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

ANNYEONGHASEYO! Kebimbangan terhadap jangkitan virus Covid-19 dalam kalangan produksi drama Korea Selatan semakin memuncak.

Banyak penggambaran terpaksa dihentikan serta-merta selepas beberapa kes pelakon disahkan positif virus itu.

Terbaharu, pelakon senior terkenal, Kim Won Hae antara yang malang selepas disahkan positif.

Pelakon berkenaan disahkan positif sehari selepas rakan pelakonnya dalam drama Jjamppong, Seo Sung Jong mendapat keputusan ujian positif virus terbabit.

Disebabkan itu, semua aktiviti seninya dibatalkan termasuk siri popular Do Do Sol Sol La La Soil.

Pelakon berkenaan perlu menjalani kuarantin untuk proses pemulihan selain kontak terdekatnya juga diminta melakukan ujian virus itu.

Agensi Kim Won Hae turut berkongsi perkembangan terbaharu keadaan serta proses rawatan yang dijalani sekarang.

Menurut kenyataan itu, pelakon terbabit sedang dirawat secara terperinci di pusat perubatan.

"Kim Won Hae berada dalam keadaan baik dan dirawat di sebuah pusat kuarantin. Pengurusnya yang berada di lokasi pun sudah menjalani ujian dan keputusannya negatif.

"Pengurus terbabit juga dikuarantin selama dua minggu sebelum menjalani ujian susulan sekali lagi. Semua pejabat dan kenderaan kami sudah dibuat pembasmian kuman, manakala kakitangan diminta kerja dari rumah," kata agensinya.

Buat masa ini, keutamaan mereka adalah untuk memastikan pelakon berkenaan bebas dan sembuh secepat mungkin.

Mereka juga berharap semua pihak memahami keadaan Kim Won Hae yang tidak dapat melaksanakan sebarang tuntutan kerjanya dalam tempoh terdekat.

"Kami memohon maaf dengan ikhlas kepada semua atas kerisauan mereka. Kami berjanji akan melakukan apa yang sebaiknya untuk memastikan Kim Won Hae mendapat kesembuhan penuh secepatnya," tambah agensi itu.

Minggu lalu, Osen melaporkan ujian virus terbabit terhadap Seo Sung Jong positif.

Dia dikatakan mula menunjukkan simptom Covid-19 pada 15 Ogos lalu sebelum menjalani ujian kelmarin.

Sumber dari produksi terbabit mendedahkan pelakon berkenaan turut hadir menjalani penggambaran sebelum itu.

Justeru, sesiapa juga yang ada kontak rapat dengan Seo Sung Jong diminta turut menjalani kuarantin.

Berikutan itu, produksi drama To All the Guys Who Loved dibintanginya mengambil keputusan menghentikan penggambaran.

Semestinya, berita merisaukan itu memberi kesan kepada produksi terutama daripada segi jadualnya.

Bagaimanapun, keselamatan tetap menjadi keutamaan produksi berkenaan terhadap semua yang terbabit.

Drama yang dibintangi Hwang Jung Eum, Yoon Hyun Min, dan Seo Jin Hoon itu masih berbaki dua episod untuk dibuat penggambaran.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 6:20 AM