PAULA bersama Baim dan anak mereka, Kiano Tiger Wong.
PAULA bersama Baim dan anak mereka, Kiano Tiger Wong.
Norhayati Nordin


MESKIPUN perkahwinan pelakon Baim Wong dan isterinya, Paula Verhoeven berlandaskan cinta, namun bukan mudah kasih sayang itu hendak dipertahankan.

Pun begitu, pasangan ini memilih untuk menjadikan keutuhan cinta rakan selebriti, Bunga Citra Lestari atau BCL dan suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair sebagai inspirasi.

Baim, 39, dan Paula 33, yang mendirikan rumah tangga pada 2018 mengakui ingin mencontohi hubungan kasih sayang dipupuk BCL dan Ashraf hingga ke akhir hayat.

Justeru, Paula dalam temu bual di vlog Daniel Mananta Network baru-baru ini menyifatkan banyak pelajaran yang boleh diambilnya sebagai contoh melalui hubungan cinta BCL dan Ashraf.

"Melihat pada hubungan rumah tangga BCL dan Allahyarham Ashraf, mereka sangat dikagumi. Malah, saya dan Baim mahu mengecap kebahagiaan sebegitu.

"Melalui dugaan besar menimpa BCL itu, saya jadi berfikir setiap kita yang hidup dan bergelar manusia akan menghadapinya apabila waktu itu sudah tiba.

"Jadi, bagi menghargai hubungan dan masa yang ada maka saya dengan Baim memilih untuk masing-masing berusaha membuang ego diri," katanya.

Menurut Paula lagi, dia sendiri jika berhadapan masalah dalam rumah tangga mereka semestinya enggan memanjangkan perkara itu kerana amat menghargai waktu.

"Saya tidak tahu sampai bila kami akan hidup bersama. Jadi, dengan waktu yang 'dipinjamkan' Tuhan ini, kami sedaya-upaya mahu kekal berkasih sayang.

"Sejujurnya, apa yang dilalui BCL sejak kematian Ashraf pada Februari lalu sangat meninggalkan kesan mendalam pada saya dan Baim.

JADIKAN contoh keutuhan cinta rakan selebriti, Bunga Citra Lestari dengan arwah suaminya sebagai inspirasi kekal bahagia.
JADIKAN contoh keutuhan cinta rakan selebriti, Bunga Citra Lestari dengan arwah suaminya sebagai inspirasi kekal bahagia.

"Kami jadi berfikir, suatu masa nanti akan melaluinya juga. Oleh itu, dalam tempoh masa yang ada diberi peluang hidup bersama ini, seharusnya saling menghargai.

"Sekarang, kami selesa sentiasa reda dan jalani saja kehidupan rumah tangga sebaik mungkin. Pastikan, kasih sayang kami selalu harmoni," katanya.

Menurut Paula, dia dan Baim kini sering mengabadikan kenangan indah dalam rumah tangga mereka supaya tidak ada penyesalan di kemudian hari.

Ujar pelakon dan model jelita ini, dia dan suaminya juga berusaha memperbaiki ibadat dan diri mereka dengan banyak melakukan perkara baik dan positif.

Sehubungan itu, Paula yang nekad memastikan rumah tangganya bersama Baim kekal utuh, kini dilimpahi bahagia dengan kehadiran cahaya mata, Kiano Tiger Wong yang berusia lapan bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 6:29 AM