Heo Dong-won
Heo Dong-won
Agensi

PELAKON Korea Selatan, Heo Dong-won disahkan positif Covid-19 kerana dia menjadi kontak rapat dengan pelakon pembantu dalam drama berjudul To All the Guys Who Loved Me, Seo Sung-jong yang sebelum ini dijangkiti virus terbabit.

Agensi Dong-won, Ace Factory, melaporkan bahawa pelakon itu dijangkiti menerusi Sung-jong ketika kedua-duanya terbabit dalam produksi teater Jjamppong.

"Hasil ujian terhadap Dong Won semalam (kelmarin) mengesahkan bahawa dia dijangkiti daripada rakan pentas teater," kata Ace Factory dalam satu kenyataan yang dilaporkan Soompi, semalam.

Terkini, Dong-won sudah dibawa ke Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCC) untuk pemeriksaan lebih lanjut.

Tidak lama selepas keputusan ujian ini keluar, pengurus Dong-won juga segera menjalani pemeriksaan dengan keputusan negatif.

Sebelum disahkan positif Covid-19, Dong-won mengikuti proses produksi untuk drama terbaru berjudul Do Do Sol Sol La La Sol.

Pembikinan drama terbabit kini terhenti, sementara pelakon dan kru yang terbabit sedang menjalani pemeriksaan.

Situasi sama dialami pelakon dan kumpulan produksi Men Are Men yang juga terpaksa menghentikan proses penggambaran kerana Sung-jong diuji positif Covid-19.

Selain Sung-jong dan Dong-wong, pelakon Kim Won-hae juga dilaporkan positif Covid-19.

Agensi Won-hae, SG Company, menjelaskan bahawa pelakon itu kini sedang menjalani rawatan di hospital.

Won-hae adalah pelakon yang sudah membintangi sejumlah drama seperti Strong Woman Do Bong Soon, Hwarang, Signal, Elegant Friends dan Melting Me.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 11:12 AM