PRODUKSI drama To All the Guys Who Loved Me ambil keputusan ekoran pelakon tambahan Seo Sung Jong positif Covid-19.
PRODUKSI drama To All the Guys Who Loved Me ambil keputusan ekoran pelakon tambahan Seo Sung Jong positif Covid-19.
Georgie Joseph

ANNYEONGHASEYO! Walaupun aktiviti seni kembali rancak sekarang, kebimbangan terhadap pandemik Covid-19 masih tinggi. Apatah lagi kes jangkitan masih berlaku setiap hari.

Terbaharu, produksi drama To All the Guys Who Loved mengambil keputusan menghentikan penggambarannya disebabkan seorang pelakon tambahannya iaitu Seo Sung Jong disahkan positif Covid-19.

Semestinya keputusan itu yang terbaik kerana jangkitan mungkin boleh melarat tanpa disedari jika diteruskan. Langkah berhati-hati itu perlu dilakukan walaupun terpaksa korbankan baki penggambaran.

Semalam, Osen melaporkan ujian virus terbabit terhadap Seo Sung Jong positif. Dia dikatakan mula menunjukkan simptom Covid-19 pada 15 Ogos lalu sebelum menjalani ujian kelmarin.

Sumber daripada produksi terbabit mendedahkan pelakon itu turut hadir menjalani penggambaran baru-baru ini. Justeru, sesiapa yang ada kontak rapat dengan pelakon itu diminta turut menjalani kuarantin.

"Seo Jung Song ada datang ke set penggambaran untuk melangsaikan babaknya pada 14 Ogos lalu. Bagaimanapun, hari ini (semalam) dia dimaklumkan keputusan ujian Covid-19 dibuatnya positif.

"Kami sudah hentikan segala penggambaran mengenai drama ini. Semua yang ada kontak rapat dengannya juga sudah diarahkan serta-merta menjalani kuarantin serta menjalani ujian saringan," katanya.

Pastinya berita membimbangkan itu memberi kesan kepada produksi terutama dari segi jadualnya. Bagaimanapun, keselamatan tetap menjadi keutamaan produksi berkenaan terhadap semua yang terbabit.

Menurut sumber itu lagi, nasib penggambaran drama itu belum diketahui buat masa ini kerana ia pastinya mengejutkan mereka.

Drama yang dibintangi Hwang Jung Eum, Yoon Hyun Min dan Seo Jin Hoon itu masih berbaki dua episod untuk melakukan penggambaran.

Tayangannya masih berlangsung ketika ini dan sepatutnya dijadualkan tamat pada 25 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 6:15 AM