Anak pelakon veteran Allahyarham Abu Bakar Juah, (dari kiri) Benjamin Nor Abu Bakar, Syafinas Abu Bakar dan Zarith Abu Bakar ketika pengebumian bapa mereka di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, Cheras. FOTO ASYRAF HAMZAH
Anak pelakon veteran Allahyarham Abu Bakar Juah, (dari kiri) Benjamin Nor Abu Bakar, Syafinas Abu Bakar dan Zarith Abu Bakar ketika pengebumian bapa mereka di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, Cheras. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ridzuan Abdul Rahman


TEGAS, namun seorang yang mesra. Itulah peribadi Allahyarham Abu Bakar Juah yang kekal diingati oleh pelakon Rahim Jailani.

   Rahim yang juga Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) mula mengenali pelakon terbabit sejak era 1980-an lagi dan seterusnya berkawan rapat. 

   "Kami pernah sama-sama menyertai pertandingan golf secara suka-suka.

   "Saya tanpa sengaja tersentuh bola golf miliknya dan dia terus cakap saya perlu dikenakan penalti.

   "Ketegasan dia sampai ke padang, tapi itulah caranya. Namun, selepas itu dia okay dan boleh bergelak ketawa semula dengan saya," katanya.

   Menurut Rahim, dia melawat Allahyarham Abu Bakar beberapa hari sebelum pelakon itu menghembuskan nafas terakhir akibat kanser hati, petang semalam. 

   "Peristiwa ini sangat terkesan diingatan saya kerana ketika saya sampai, dia dalam keadaan terbaring.

   "Saya berdiri dekat dengannya dan dia buka mata serta sebut nama saya. Terharu dibuatnya, kerana macam itu sekali dia kenal saya walau keadaannya begitu.

   "Dia kemudian tutup matanya dan semalam saya dapat pula berita dia sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam, Alam Damai, Cheras. 

   Menurutnya, mengenali Allahyarham Abu Bakar, dia bukanlah seorang yang garang seperti wataknya. 

   "Disebaliknya, arwah seorang yang cukup lemah lembut, suka bergurau dan buat kawan-kawan rasa selesa," katanya. 

   Sementara itu, pelakon Den Wahab pula mengakui sedih kerana baru mengunjungi Allahyarham, Selasa lalu.

   "Waktu saya berkunjung Februari lalu, dia masih sihat. Kami berbual serta bergurau senda dan ketika saya nak pulang, dia sedih dan menangis. 

   "Apabila datang kali ini, dia dah terlantar. Dia merenung saya dan paling tak boleh tahan, dia hulur tangan nak minta saya pegang.

   "Dia renung lama dan agaknya sedang fikir. Saya kemudian sebut nama padanya. Dia tengok dan kemudian angkat tangannya serta saya terus menyambutnya," kata Den.

   Menurut Den, hubungan mereka rapat kerana Abu Bakar adalah rakan baik Allahyarham bapa mentuanya, Tamam Idris.

   "Kalau mereka berjumpa ada saja cerita dan gurau senda. Apabila ayah dah tiada, hubungan ini tetap berterusan sebagai rakan artis serta komuniti surau dan masjid," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 7:43 PM