DAYANG Nurfaizah, Naim Daniel. FOTO NSTP
DAYANG Nurfaizah, Naim Daniel. FOTO NSTP
Syafil Syazwan Jefri


MENGANJURKAN konsert 'virtual' adalah langkah terbaik bagi meneruskan kemeriahan industri muzik tanah air ketika dunia dilanda pandemik Covid-19 ketika ini.

Penyanyi popular, Dayang Nurfaizah berkata, persembahan pentas atau konsert boleh diatur mengikut peredaran zaman dan ketika ini, Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan perlu dipatuhi.

Dayang yang sebelum ini mengadakan persembahan secara maya di beberapa platform digital berkata, walaupun perasaan dan 'jiwa' ketika membuat persembahan berbeza berbanding sebelum ini, namun dia masih lagi dapat melihat reaksi penonton.

"Sebelum ini, saya adakan persembahan secara maya dan di dalam ruangan komen perbualan, saya dapat baca reaksi dan komen daripada penonton.

"Sebenarnya, apa yang dilakukan sekarang tak jauh beza dengan rakaman-rakaman untuk program TV dulu-dulu contohnya untuk program khas dan sebagainya yang dirakamkan tanpa penonton.

"Sedikit sebanyak, ia membawa saya mengimbau kenangan ketika membuat persembahan rakaman tanpa penonton suatu ketika dulu," katanya.

Sementara itu, penyanyi dan pelakon, Naim Daniel berkata, walaupun acara persembahan kini sudah kembali berlangsung, namun dia tetap sedih kerana tidak dapat membuat persembahan secara langsung di depan penonton.

"Pernah satu ketika, saya menangis di rumah sebab rindu nak buat persembahan di hadapan peminat secara langsung.

"Daripada merekalah saya dapat 'tenaga' untuk menjayakan sesuatu persembahan. Jadi, apabila persembahan terpaksa dilakukan secara maya, macam rasa ada kurang dari segi jiwa dan tenaga," katanya.

Naim juga sebelum ini cukup dikenali sebagai penyanyi yang akan memberikan hadiah kepada peminatnya setiap kali muncul membuat persembahan pentas.

"Sekarang, ada juga saya dapatkan beberapa cenderahati untuk diberikan kepada mereka dan saya teruskan dengan interaksi bersama mereka di kumpulan WhatsApp serta platform media sosial," katanya.

Terbaru, Dayang dan Naim akan terbabit dalam Konsert Online High5 Joox anjuran Joox Originals yang berlangsung malam ini menerusi aplikasi penstriman digital itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 4:09 PM