WING bakal menemui peminat melalui persembahan di alam maya. FOTO Saifullizan Tamadi
WING bakal menemui peminat melalui persembahan di alam maya. FOTO Saifullizan Tamadi
Ridzuan Abdul Rahman

SUDAH rezeki kumpulan Wings apabila ditawarkan beraksi dalam konsert secara dalam talian menerusi Konsert Kita Merdeka 2020 yang bakal berlangsung pada 29 Ogos ini.

Konsert anjuran Sonic Minds Sdn Bhd dan Firm Motion Sdn Bhd itu akan menyaksikan Wings beraksi secara dalam talian menerusi 'Live Streaming' di www.wingskitamerdeka.liveframe.my.

Ia sekali gus melakar sejarah baharu buat mereka sempena ulang tahun ke-35 penubuhan Wings sekali gus meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-63.

Penyanyinya, Datuk Awie berkata, konsert ini juga diadakan sebagai tanda sokongan dan penghargaan Wings kepada petugas barisan hadapan negara yang bertungkus lumus bekerja menangani pandemik Covid-19.

"Konsert Wings Kita Merdeka adalah suatu konsert yang sangat simbolik bagi kami. Ia juga adalah satu rezeki dan pengalaman baharu buat kami kerana biasanya kami akan beraksi secara langsung depan penonton.

"Ia adalah penampilan pertama kali Wings beraksi tanpa penonton di hadapan pentas. Sudah tentu ia perkara pelik dan saya hampir ketawa apabila mula-mula diajukan tawaran ini.

"Cabarannya tentu ada kerana kami pasti akan berasa pelik beraksi tanpa penonton. Biasanya kami bimbang nak buat konsert jika tidak dapat sambutan penonton, tapi kali ini penonton hanya akan menonton dari rumah," katanya.

Menurut Awie, perkara ini bukanlah asing di negara luar dan mereka berbangga kerana menjadi pelopor kepada persembahan cara ini.

"Tawaran dibuat penganjur pada kami sekitar Jun lalu dan diikutkan ia dah lambat kerana pelbagai persiapan perlu dilakukan.

"Tapi ini rezeki dan Wings kena ambil juga kerana biar kami jadi pembuka jalan dan kemudiannya diikuti kumpulan rock lain. Apabila kita hidup pada era di mana kehidupan diganggu oleh Covid-19, kita kena berfikiran kreatif. Nak tak nak, hidup perlu diteruskan dan persembahan cara streaming ini perlu dimanfaatkan oleh semua pihak," katanya.

Wings dijangka akan tampil dengan 15 lagu dan persembahan keseluruhan akan mengambil masa selama tiga jam bermula selepas solat Maghrib pada jam 7.30 malam hingga jam 10.30 malam.

"Konsert ini akan dibuka dengan sesi red carpet dan kemudian barulah persembahan dimulakan. Kami akan buka pentas dengan lagu Puisi Merdeka serta mengenakan pakaian petugas barisan hadapan.

"Biarpun secara virtual tanpa penonton, konsert kami adalah bertaraf konsert dengan adanya sistem lampuan, skrip dan kami akan tampil dengan cara trademark Wings," katanya.

Sementara itu, wakil Sonic Minds Sdn Bhd, Suffian Majid berkata, mereka begitu teruja untuk menjayakan konsert penstriman secara langsung pertama untuk kumpulan legenda rock negara itu.

"Pandemik ini mengubah cara kita menikmati konsert secara langsung, sehubungan itu Sonic Minds Sdn Bhd dan Firm Motion Sdn Bhd menjalin kerjasama untuk merealisasikan konsert ini.

"Ia akan berlangsung secara tertutup tapi 'setting' dan 'set-up' seperti konsert biasa. Kami sudah kenal pasti lokasi yang sesuai di Lembah Klang untuk mengadakannya. Keluasan tempat kecil kerana akan fokus pada produksi," katanya.

Penyanyi Zynakal dan Yonnyboii turut ditampilkan sebagai artis undangan bagi membuka konsert ini.

Beberapa penaja lain iaitu EasyBuyBye, platform e-dagang di bawah Serba Dinamik IT Sdn Bhd dan JM Bariani House bersetuju menjadi penaja konsert terbabit.

Tiket berharga RM35 dan boleh diakses mulai 30 Julai lalu di www.galactix.asia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 6:15 AM