Wings pada sidang media  konsert Kita Merdeka di JM Bariani Wangsa Walk Mall. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Wings pada sidang media konsert Kita Merdeka di JM Bariani Wangsa Walk Mall. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Ridzuan Abdul Rahman

 "SAYA tiada apa-apa kebimbangan untuk menjayakan konsert ini walaupun tahu peminat tiada di depan mata untuk menyaksikannya.

   "Berbanding dulu, saya selalu bimbang apabila nak beraksi kerana risau apakah ada orang yang nak menonton atau tidak nanti," kata vokalis Wing, Datuk Awie. 

  Ia berikutan kumpulan rock lagenda itu akan terbabit dalam Konsert Kita Merdeka 2020 yang bakal berlangsung pada 29 Ogos ini. 

   Konsert anjuran Sonic Minds Sdn Bhd dan Firm Motion Sdn Bhd itu turut mencatat sejarah tersendiri buat kumpulan Wings apabila beraksi secara virtual dalam talian menerusi  'Live Streaming' di www.wingskitamerdeka.liveframe.my.

  Malah, bagi peminat yang mahu menyaksikan konsert itu boleh membeli tiket RM35 menerusi www.galactix.asia

   Awie ketika ditemui, berkata beliau juga menyerahkan kepada kebijaksaaan penganjur, berkenaan cara penjualan tiket konsert itu yang akan berlangsung lebih satu jam.

   "Saya hanya akan memastikan kesihatan terjamin pada hari konsert berkenaan demi peminat yang menontonnya secara santai di rumah masing-masing.

   "Sebenarnya kami rasa teruja juga apabila diajak terbabit dalam konsert ini yang julung kali dilakukan oleh Wings.

   "Mulanya, saya rasa nak ketawa juga apabila beraksi pada konsert virtual yang bagi kami satu perkara baru dan agak mencabar. Tapi, bila fikir positif kami sedar hidup perlu diteruskan," katanya.   

   Menurutnya, penganjur membuat tawaran berkenaan pada Wings sekitar Jun lalu dan mereka menyambutnya dengan hati terbuka.

   "Ikutkan tawaran ini dah lambat, tapi Wings kena ambil juga kerana biar kami jadi pembuka jalan dan kemudiannya diikuti kumpulan rock lain. 

  "Wings sebenarnya pernah juga  terfikir nak buat konsert secara virtual ini dan ada beberapa tawaran yang datang antaranya konsert secara 'Live Facebook'. 

   "Tapi, kami tengok pada penganjur juga dan yang ini di dapati ada pengalaman. Mereka pernah buat konsert besar dan ada rekod bagus. Justeru, kita yakin mereka boleh buat dengan baik dan akhirnya terima tawaran ini," katanya. 

   Bercerita lanjut Awie berkata, Wings terpaksa membatalkan dan menunda hampir lima persembahan besar mereka akibat pandemik Covid-19.

   "Kami sepatutnya menjayakan dua konsert besar Kuala Lumpur dan di Phuket, Thailand serta persembahan majlis makan malam. 

   "Saya pernah terfikir juga apa nak jadi ni, tapi akur semuanya ketentuan Allah dan kita kena pasrah dengan apa yang berlaku.

   "Tapi dalam masa sama, kita kena juga usaha dan jadi lebih kreatif untuk kesinambungan hidup.  Alhamdulillah, kita sekarang dah dapat lepas daripada ketakutan melampau yang mana, dulu nak buat drama dan persembahan pentas pun tak boleh," katanya. 

   

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 10:50 PM