Kumpulan Dolla.
Kumpulan Dolla.
Sudirman Mohd Tahir


BAGI menyahut cabaran, kumpulan Dolla turut menyertai pertandingan How You Like That Dance Cover Contest yang dianjurkan kumpulan wanita terkenal antarabangsa, BLACKPINK.

Dolla yang dianggotai empat wanita iaitu Sabrina, Tabby, Syasya dan Angel berharap video tarian mereka mendapat sokongan rakyat Malaysia.

Wakil mereka, Sabronzo berkata, video yang dimuat naik Dolla di Instagram @dolla.official dan YouTube itu mengikut kriteria koreografi lagu terbaharu BLACKPINK.

"Kami berharap video penyertaan ini mengikut koreografi lagu terbaharu BLACKPINK sekali gus berjaya mencuri perhatian peminat muzik di Malaysia dan di luar negara.

 "Sekiranya video ini dapat pergi jauh dan dinikmati oleh ramai orang pun sudah memadai. Semoga peminat muzik di Malaysia sudi menyokong usaha kami ini dengan menonton dan berkongsi video ini dengan rakan-rakan," katanya.

Pertandingan itu menawarkan hadiah utama sejumlah KRW 10 juta bersamaan dengan RM35,000.

 Pertandingan itu juga memerlukan peserta merakam video tarian mengikut koreografi penuh seperti yang dipaparkan dalam video muzik terbaharu BLACKPINK, How You Like That.

 Pertandingan yang berlangsung dari 6 Julai lalu itu bakal berakhir hari ini dan pemenang akan diumumkan pada 28 Julai ini.

 Dolla yang melancarkan single debut mereka Dolla Make You Wanna pada Mac lalu mencuri perhatian peminat muzik Malaysia dengan konsep lagu, penampilan, nyanyian dan tarian mereka.

 Malah video rasmi lagu itu yang dimuatnaik di laman YouTube Universal Music Malaysia sejak 19 Mac lalu, sudah mencapai lebih satu juta tontonan. Suatu pencapaian yang sangat memberangsangkan dan boleh dibanggakan untuk bakat baharu seperti mereka.  

Dalam masa sama, video muzik itu turut menjadi tumpuan YouTuber dari dalam dan luar negara.

 Ada yang mula membuat video 'dance cover' mengikut gerak tari Dolla dalam video muzik itu selain turut membuat video ulasan dengan maklum balas positif berkenaan bakat tarian Dolla yang dipuji sebagai mempesonakan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 11:23 AM