JASMIN Hamid. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
JASMIN Hamid. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Sudirman Mohd Tahir


"Elok lepas makan kau mati Yati. Nak kena bunuh ka!"

Itu antara kecaman dan ugutan diterima pelakon, Jasmin Hamid di Instagram ekoran lakonannya dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2 yang ditayangkan di slot Akasia, TV3.

Jasmin yang melakonkan watak Hayati berkata, perkara itu tidak sepatutnya wujud kerana ia sekadar lakonan.

"Kalau marahkan Hayati sekalipun, kononnya lakonan saya menjadi, tak perlulah kecam bunuh di gambar yang tak berkenaan apatah lagi pada gambar perniagaan orang. Ini sudah salah. Boleh diambil tindakan undang-undang sebagai ugutan.

"Tak perlulah emosi sangat sampai terlupa jaga lisan dan akhlak. Itukan semua lakonan. Nanti kalau pelakon tak hayati watak, panggil pelakon kayu pula.

"Jadilah penonton yang bijak yang pandai bezakan lakonan dan realiti. Apabila sudah bertudung, pastinya akhlak dan lisan juga akan baik. Jadi, tolong janganlah rosakkan imej mereka yang bertudung," katanya. Menurut Jasmin yang menjadi ibu kepada Mia lakonan Siti Saleha, kecaman yang dterima itu bukan dalam kalangan 'followers' atau pengikutnya di Instagram.

"Dia bukan 'followers' saya pun. 'Followers' saya juga yang hebat, berakhlak dan positif. Masyarakat patut ambil pengajaran dengan watak Hayati ini. Pastinya ramai yang berhati hitam seperti Hayati.

"Syukur, saya dapat pahala secara percuma saja. Sebenarnya, saya berlakon tak bagus manapun, bantuan orang keliling yang buatkan watak saya nampak macam bagus. Baru episod 10, belum lagi sampai episod 33.

"Jadi, anda semua kena berhati-hati apabila nak kecam ya. Kecam watak bukan pelakonnya. Anda dapat dosa sedangkan pelakonnya dapat gaji.

"Takut kalau salah komen, sampai keluar kenyataan bunuh dan berbaur ancaman pada gambar yang tak ada kaitan dengan drama, boleh dibawa ke pihak berkuasa kerana ia boleh dikira ugutan. Jadi hati-hati," katanya.

Selain Jasmin, drama itu turut menampilkan lakonan Shukri Yahaya, Siti Saleha, Liza Abdullah, Kazar, Syazwan Zulkifly dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 2:29 PM