Alina Hassan (kiri) kini menghuni bilik kecil.
Alina Hassan (kiri) kini menghuni bilik kecil.
Ridzuan Abdul Rahman


WALAUPUN hanya mampu menyewa bilik kecil, penyanyi Alina Hassan, 52, tetap bersyukur kerana masih mempunyai tempat berteduh berbanding insan malang lain.

Juara program Sinaran Pasport Kegemilangan pada 1996 dan pemenang tempat ketiga Mentor Otai 2018 ini menghuni bilik berkeluasan 1.5 meter X 2.4 meter di sebuah rumah kedai di Setapak, Kuala Lumpur sejak setahun lalu.

Bagaimanapun, Alina yang popular menerusi lagu Gelombang dan Dingin tidak kesal dengan suratan nasibnya, malah dia puas hati kerana tidak meminta-minta dan bebas daripada hutang.

Rakaman video keadaan bilik dihuni Alina itu diterima Harian Metro, baru-baru ini. Video berdurasi 21 saat itu memaparkan keadaan bilik Alina yang sempit tanpa sebarang perabot. Ia hanya dilengkapi sebuah kipas meja dan tilam serta bantal.

Alina ketika dihubungi berkata, buat masa ini hanya bilik itu saja yang mampu disewanya.

"Video itu sebenarnya diambil penyanyi Safura. Dia datang ketika ulang tahun kelahiran saya Isnin lalu dan kami pergi makan bersama.

"Dia antara kawan baik saya sejak dulu. Selepas makan dia hantar saya balik dan kemudian meminta izin untuk melihat bilik saya dan merakam video.

"Tujuannya baik kerana nak minta tolong beberapa pihak seperti Presiden Konsortium Irama, Ayob Majid bantu saya dapatkan rumah," katanya kepada Harian Metro.

Alina berkata, dia memang memerlukan sebuah rumah dan sudah lama memohon menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, namun tiada sebarang maklum balas.

"Saya asyik buat rayuan sahaja. Datang tanya, tapi disuruh tunggu. Jadi, saya lihat permohonan saya memang perlukan sokongan daripada pihak tertentu.

"Saya tak malu jika video ini ditonton pihak lain. Ini saja yang saya termampu setakat ini. Bukan tak perlu simpati dan memang setiap kita perlukan rumah.

"Safura sendiri tak boleh tidur fikirkan nasib saya. Sudah lebih setahun mohon rumah tapi belum dapat. Saya reda kerana Allah dah aturkan kehidupan ini untuk saya. Rasanya ada lagi yang lebih teruk ujiannya daripada saya," katanya.

Alina yang berasal daripada Melaka mengakui, anak-anaknya yang kini tinggal dengan bekas suami juga tidak tahu dia tinggal dalam keadaan begini.

"Sebelum ini saya enggan bercerita berkenaan anak-anak kerana tak nak mereka terkesan dengan apa yang berlaku kepada ibunya.

"Saya kasihankan mereka dan tak nak mereka sedih. Alhamdulillah anak-anak saya terang hati dan mereka sangat berdisiplin. Mereka tak campur perkara yang bukan-bukan serta tak elok.

"Syukur Allah berikan saya anak-anak begini. Anak kedua, Mohd Alif, 19, menghidap autisme dan asyik berzikir tanpa mengira masa walaupun dalam kereta atau di mana-mana," katanya.

Menurut Alina, Mohd Alif tidak mahu bercakap dalam bahasa Melayu dan lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris ketika berkomunikasi.

Alina mempunyai empat anak tetapi anak sulungnya sudah meninggal dunia. Anak ketiganya Mohd Amin, 18, akan mendaftar masuk di sebuah universiti pada Ogos nanti manakala anak bongsu, Mohd Azam, 15, sedang belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Terdahulu, kisah Alina tular apabila meneruskan kehidupannya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu dengan mengambil upah membeli barangan keperluan harian bagi penduduk di sekitar tempat tinggalnya.

Sebelum PKP dilaksanakan, Alina bekerja mengambil upah mencuci dan melipat pakaian serta mengasuh selain masih menerima undangan nyanyian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 4:44 PM