BAIM (kanan) bersama Paula dan anak mereka. FOTO IG BAIM WONG
BAIM (kanan) bersama Paula dan anak mereka. FOTO IG BAIM WONG
Agensi

KISAH pelakon sinetron Benci Bilang Cinta yang kini menjadi YouTuber terkenal Indonesia, Baim Wong, 39, cukup mendapat perhatian ramai dari segenap sudut kehidupannya terutama pada kalangan wargamet.

Satu demi satu ceritera hidup Baim menjadi tarikan umum bermula sindiran pelakon Nikita Mirzani di media sosial, diikuti bantuan diberikan kepada orang ramai melalui penaja saluran YouTube miliknya termasuk dipersoalkan hukum sedekah dibuat Baim.

Terbaharu, dibuka pula kisah dukanya yang pernah hidup susah dan dibebani hutang apabila perniagaan kulinari diusahakan mengalami masalah kewangan pada 2012 serta rakan kongsi lari menghilang diri.

Menerusi saluran YouTube Sungkars Family ketika ditemubual pasangan pelakon Teuku Wisnu dan Shireen Sungkar baru-baru ini, bapa Kiano Tiger Wong yang berusia enam bulan, mendedahkan dia melamar isterinya, Paula Verhoeven, 33, ketika berdepan masalah kewangan.

"Ketika hidup susah itu, saya jatuh cinta pula dengan Paula. Hati ingin mendekatinya dan apabila berjaya, saya terus sahaja berterus terang mengenai situasi sebenar yang saya bukan kaya-raya walaupun status pelakon terkenal.

"Pada masa itu, terpulang pada Paula sama ada dia mahu terima saya atau tidak untuk kami menjalin hubungan serius. Saya memikirkan usia pun tidak muda lagi, jadi kalau dia terima okay sahaja tetapi tidak terima pun tidak dipaksa.

"Memang hidup saya susah dan dibelenggu hutang yang banyak, tetapi saya berjanji dengan Paula akan bekerja kuat demi masa depan kami. Alhamdulillah, Paula yakin dengan saya dan kami bercinta seterusnya berkahwin," katanya.

Perkenalan singkat Baim dan Paula membawa mereka ke fasa rumah tangga apabila bernikah pada 22 November 2018. Kini menyulam bahagia dan gembira, pasangan selebriti ini dikurniakan cahaya mata lelaki tahun lalu.

Pun begitu, berikutan krisis pandemik Covid-19 yang makin menular di Indonesia kini, Baim semakin ligat menghulur bantuan kewangan kepada masyarakat memerlukan. Namun, aktiviti sumbangan dibuat itu menjadi kandungan utama saluran YouTube Baim Paula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 11:36 AM