ALINA
ALINA
Ridzuan Abdul Rahman

"KADANG-kadang dalam seminggu saya baru dapat satu tawaran untuk belikan barang. Tawaran untuk cuci rumah juga ada satu.

"Alhamdulillah, saya tetap bersyukur dengan rezeki Allah dan tak pernah mengeluh. Setakat makan untuk saya seorang memang tiada masalah," kata juara program Sinaran Pasport Kegemilangan pada 1996 dan pemenang tempat ketiga Mentor Otai 2018, Alina Hassan, 52, yang kini melakukan kerja mengambil upah membeli barang keperluan harian dan mencuci rumah.

Alina ketika dihubungi berkata, dia juga cuba menjual rendang dan mendapat komisyen sebanyak 10 peratus. Sebelum ini dia ada menjual jubah dan jualannya habis tetapi tiada stok baru pula.

Terdahulu, kisah Alina menjadi tular ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu apabila dia kehilangan mata pencarian sehingga melakukan kerja mengambil upah membeli barangan keperluan harian bagi penduduk di sekitar tempat tinggalnya di Setapak.

Sebelum PKP dilaksanakan akibat penularan wabak pandemik Covid-19, dia bekerja sebagai tukang cuci, mengambil upah mencuci dan melipat pakaian serta mengasuh kanak-kanak selain turut menerima undangan nyanyian.

Alina yang tidak memiliki kenderaan mengerah keringat untuk menghantar barang yang dipesan dengan berjalan kaki lebih dua kilometer setiap hari.

Menerusi pendapatan ini, dia yang menyewa sebuah bilik di rumah kedai mampu mengisi perut dengan membeli nasi bajet berharga RM3 yang mengandungi telur dan sambal.

Alina berkata, sejak Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diperkenalkan, dia makin kurang mendapat tawaran mengambil upah membelikan barangan.

Alina juga bersyukur kerana sehingga kini dirinya masih mendapat perhatian daripada persatuan artis tanah air yang memberikan bantuan berupa keperluan makanan.

Dalam pada itu, dia juga tidak berani lagi mengadakan persembahan secara langsung di Facebook selepas mendapat amaran berkaitan hak cipta lagu.

Alina berkata, persembahan di Facebook ini dibuat bertujuan mencari rezeki tambahan seperti dilakukan beberapa penyanyi lain dan buskers.

"Saya memang takut apabila menerima amaran daripada pengendali Facebook berkaitan hak cipta lagu yang dinyanyikan. Memanglah sedih kerana saya hanya berniat nak cari rezeki.

"Sebenarnya saya kurang mahir dengan teknologi dan saya difahamkan kena buat pendaftaran terlebih dahulu sebelum boleh buat persembahan sedemikian. Namun, caranya saya kena dapatkan lebih lanjut.

"Bagaimanapun, saya bercadang nak buat persembahan dengan menyanyikan lagu-lagu karaoke bukan nyanyian penyanyi asal dan akan tengok hasilnya nanti," katanya.

Menurutnya, dia akan melihat hasilnya selepas ini sama ada akan menerima amaran lagi daripada Facebook.

"Hanya ada dua keputusan, sama ada cara ini dibenarkan atau sebaliknya akaun Facebook saya akan terus disekat. Saya kena bersedia dengan sebarang kemungkinan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 4:58 PM