Khir Rahman bersama Ogy.
Khir Rahman bersama Ogy.
Norhayati Nordin


PELAKON yang juga pengarah teater Korupsi Dewan Semandung, Khir Rahman, 47, selesa bersikap profesional ketika menjalani penggambaran telefilem bersama penerbit teater berkenaan, Fauziah Ahmad Daud, baru-baru ini walaupun dia belum melangsaikan baki bayaran persembahan teater itu.

Khir berkata, sikap profesional penting dalam urusan kerja untuk memudahkan banyak pihak. Apatah lagi, mereka menggalas tanggungjawab untuk menyiapkan projek seni terbitan syarikat lain.

"Saya suka bekerja dalam suasana yang positif. Malah, apa yang sudah berlaku di antara saya dengan kak Ogy sebelum itu tidak ada kena-mengena langsung dengan projek lakonan kami dan syarikat produksi terbabit.

"Jadi, saya kena bekerja dengan profesional. Alhamdulillah, saya dan kak Ogy dapat bekerjasama sebaiknya melaksanakan tugas dan tanggungjawab kami menyiapkan penggambaran telefilem itu," katanya kepada Harian Metro.

Khir dan Fauziah yang mesra disapa Kak Ogy berganding dalam telefilem istimewa Aidiladha berjudul Pencipta Pegang Waktu arahan Zainorhisyam untuk TV3.

Menurut Khir, penggambaran telefilem berkenaan sudah lama tertangguh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan pandemik Covid-19 sejak 18 Mac lalu.

Ditanya mengenai hutang Ogy dengannya, Khir berkata, dia masih lagi belum mendapat bayaran penuh yang dijanjikan.

Namun, dia mampu bersabar kerana melihat Ogy ada usaha melakukan pelbagai kerja untuk mengumpul wang bagi melunaskan hutang berkenaan.

"Sebagai individu matang, saya tidak boleh terlalu mengikut emosi dan perasaan marah atau bengang memikirkan hutang itu. Apatah lagi, saya melihat kak Ogy sangat berusaha dengan pelbagai cara untuk mengumpulkan wang.

"Saya yakin dia nak membayar hutangnya pada saya dan semua kru produksi teater itu yang belum mendapat bayaran, tetapi, dia masih perlukan masa," katanya.

Menurut Khir, selaku orang yang berperikemanusiaan dan tidak suka bermusuh, dia memilih untuk bersabar dan berharap isu pembayaran itu dapat diselesaikan secepat mungkin serta dalam keadaan baik.

Pada pertengahan Mac lalu, timbul isu membabitkan Ogy yang juga pemilik produksi Ogy Ventures & Network kerana gagal melunaskan pembayaran pada pelakon dan tenaga kerja teater Korupsi Dewan Semandung terbitannya.

Teater dipentaskan selama tiga hari di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac itu membariskan pelakon seperti Joey Daud, Mark Adam, Man Raja Lawak, Syura Badron, Che Mat Raja Lawak dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 4:23 PM