LANCAR single berjudul Apo pada 17 Julai depan.
LANCAR single berjudul Apo pada 17 Julai depan.
Sudirman Mohd Tahir

SELEPAS 12 tahun tidak mengeluarkan lagu baharu, pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi atau mesra disapa Pak Nil bakal melancarkan single berjudul Apo pada 17 Julai depan.

Single yang berkisarkan buli siber itu hasil ciptaan Archie Nasution dan Reza Ramsay, manakala liriknya pula cetusan idea Pak Nil sendiri.

Ia diterbitkan atas inisiatif sendiri menerusi paksi tanggungjawab sosial Yayasan Pesona yang juga milik Pak Nil bersama Scifi Record dan Sony Music.

Istimewanya lagu yang sepatutnya dilancarkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini turut memuatkan lirik nama akaun Twitter Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di bawah nama Che Minah Sayang yang pernah digunakan baginda sebelum ini.

Malah, keizinan kepada perkara itu turut diminta Pak Nil sendiri daripada Raja Permaisuri Agong pada 4 Jun lalu.

"Saya ada bermesej dengan Tuanku Raja Permaisuri Agong di Instagram dan memaklumkan untuk meletakkan nama akaun Twitter baginda dalam lirik lagu ini. Saya mahu minta perkenan Tuanku.

"Selepas mendapat balasan nombor untuk dihubungi, saya menelefon Raja Permaisuri Agong. Malah, ia turut dilakukan dengan cara protokol menulis surat dan memohon perkenan dalam Istana Negara. Alhamdulillah, Tuanku sendiri secara peribadi mengizinkannya.

"Saya sendiri punyalah gementar sampai menggigil sebab nak bercakap dengan Tuanku dalam telefon. Bayangkan boleh kejap tersasul bahasakan diri sebagai patik dan kejap saya," katanya.

Menurut pemenang 10 kali trofi kategori Pengacara TV Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular BH itu, dia juga bercita-cita mahu mendapatkan rakaman suara Raja Permaisuri Agong dalam lagu berkenaan.

"Kalau dapat perkenan guna rakaman suara Tuanku untuk diselit dalam lagu ini, lagi saya akan rasa beruntung. Namun saya tahu perkara seperti ini bukan mudah kerana membabitkan banyak protokol.

"Malah, andai dapat Tuanku mencemar duli hadir melancarkan lagu ini pada bulan depan bertambah istimewa jadinya. Kalau sebelum ini, dapat bercakap terus dengan menerusi telefon pun sudah rasa kaki tak cecah tanah.

"Bayangkan kalau Tuanku hadir di hari pelancaran, rasa seperti lutut tak cecah tanah kiranya," katanya.

Pak Nil yang pernah diiktiraf Malaysia Book of Records (Kategori Pengacara Paling Lama Berkhidmat) berkata, single itu dihasilkan bukan untuk berentap dengan sesiapa apatah lagi dipertandingkan.

"Single ini saya tak anggap sebagai 'comeback' dalam dunia nyanyian. Saya bukan penyanyi serius. Saya penyanyi yang 'fun' dan santai. Lagu ini lahir lebih kepada tanggungjawab. Tambahan pula buli siber ini terus bermaharajela hingga kini apabila dunia media sosial tiada kawalan.

"Warganet dan wira papan kekunci bebas melontarkan kata-kata nista dan kecaman. Begitu juga hal seperti ejekan tubuh, rasis, mempersenda agama, politik dan macam-macam lagi.

"Insya-Allah, saya juga berharap lagu ini dapat membuka mata mana-mana agensi berkaitan atau kementerian untuk menjalinkan kerjasama dalam usaha mengangkat isu buli siber," katanya yang mengambil masa lapan jam untuk menyiapkan lirik lagu Apo.

Sepanjang lebih 32 tahun berkongsi bakat, Pak Nil pernah muncul dengan dua album bersama Pony Canyon dan KRU Music.

Pak Nil juga pernah menulis lirik untuk penyanyi seperti A to Z, Amy Mastura, Min Malik dan Kool.

Pada majlis pradengar lagu Apo yang diadakan, Pak Nil turut mengundang duo pereka fesyen Razman Razmi yang turut hadir memeriahkan acara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 6:30 AM