Maznah Baba, ibu Sharul AF
Maznah Baba, ibu Sharul AF
Najiy Jefri

 

PENYANYI Sharul Kamal bersyukur apabila impian dia bersama adik-beradik dan bapanya untuk melihat ibu tercinta, Maznah Baba, 51, bertudung sepenuhnya tercapai.

Sharul berkata,  ibunya mengenakan tudung selepas doanya di Makkah ketika menunaikan umrah awal tahun ini dimakbulkan.

"Dulu ibu saya tak pakai tudung, 'free hair', tapi kami adik beradik dan ayah tidak pernah menghakimi, malah sentiasa berdoa dari dulu untuk ibu tutup aurat dengan sempurna. 

"Awal tahun lalu saya berpeluang menunaikan umrah. Di sana, saya tidak putus-putus berdoa dan Alhamdulillah pertengahan Mac lalu ibu nekad bertudung sepenuhnya," katanya.

Menurut Sharul, dia berharap perkongsian  ini dapat memberi inspirasi kepada orang luar yang terus menanti dan mendoakan supaya insan tercinta bertudung satu masa nanti.

"Niat saya berkongsi perkara ini bukan nak menunjuk-nunjuk atau mengaibkan, tapi saya nak beri inspirasi kepada semua yang masih berdoa untuk melihat insan paling disayangi berubah ke arah lebih baik.

"Kita hanya mampu berdoa dan penghijrahan ini tidak boleh dipaksa-paksa. Lagipun hati milik Tuhan. Sebelum ibu nekad bertudung, dia ada beberapa kali memberi petunjuk yang satu masa nanti dia akan bertudung. Tak sangka akhirnya dia bertudung. Saya dan keluarga doakan agar dia terus istiqomah," katanya.

Terdahulu Sharul berkongsi berita penghijrahan ibunya itu di Twitter.

Penghijrahan ibu Sharul mendapat pujian dan respon baik daripada peminat bintang Akademi Fantasia 2015 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 4:44 PM