HARAP konsep cerita ‘in person’ menerusi SembangLejen beri pengajaran melalui kisah tetamu jemputan dalam bidang masing-masing.
HARAP konsep cerita ‘in person’ menerusi SembangLejen beri pengajaran melalui kisah tetamu jemputan dalam bidang masing-masing.
Ridzuan Abdul Rahman

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sejak 18 Mac lalu bagi mencegah pandemik Covid-19 mencetuskan idea buat bekas pengacara program Pencetus Ummah, Ustaz Zulkefli Hamat untuk menghasilkan program dari rumah.

Menerusi perancangan yang tersusun, dia tampil dengan program siaran secara langsung di Facebook iaitu SembangLejen.

Zulkefli yang juga pernah menjadi Murabbi (tenaga pengajar) untuk skil pengucapan awam program Imam Muda Astro musim kedua berkata, fokus program itu adalah untuk berkongsi pengalaman tetamu jemputan yang boleh memberi pengajaran kepada penonton melalui kisah mereka dalam bidang masing-masing.

"Sepanjang Ramadan lalu program ini berlangsung setiap hari pada jam 10 malam.

"Sudah ramai yang terbabit antaranya penyanyi Yantzen, Bagio, Sabri Yunus, selebriti TV Wan Kamarudin, bekas penyampai radio Krill Rashid dan ramai lagi.

ANTARA tetamu jemputan program SembangLejen.
ANTARA tetamu jemputan program SembangLejen.

"Sekarang ia kekal sebagai program mingguan apabila berlangsung setiap malam Rabu jam 10 malam selama sejam," katanya.

Zulkefli kini bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Dan Pengantarabangsaan di Bahagian Pendidikan Islam KPM berkata, programnya berkonsepkan 'in person' iaitu mengenali dengan lebih mendalam pembabitan seseorang tokoh selebriti dari kecil serta pembabitan mereka dalam bidang tertentu sehingga kehidupan terkini.

"Konsep cerita 'in person' ini diharapkan menjadi galakan kepada generasi yang ingin terbabit dalam bidang yang menjadi forte tetamu jemputan.

"Alhamdulillah saya bersyukur setakat ini jumlah tontonan pernah mencapai 20,000 bergantung kepada siapa tetamu jemputan.

"Setakat ini saya belum pernah berdepan isu sensitif daripada tetamu. Sekiranya ada, saya akan terus potong perbualan dan alih perbincangan," katanya.

Zulkefli akan membuat kesimpulan berdasarkan sembang santai ini untuk dijadikan pengajaran kepada penonton.

Bahkan dia juga akan memetik ayat al-Quran atau hadis yang berkaitan dalam sesi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 6:15 AM