Dr Nisa Nabila mengambik suhu salah seorang kru produksi di lokasi penggambaran.
Dr Nisa Nabila mengambik suhu salah seorang kru produksi di lokasi penggambaran.
Najiy Jefri


PENERBIT Creative Skill Solution Sdn Bhd, Suriyati Sidek mengambil inisiatif dengan menempatkan seorang doktor bagi memantau keadaan dan kesihatan semua pelakon dan kru penggambaran drama bersiri Pink Smile. 

Suriyati berkata, penggambaran yang bermula hari ini di Kota Damansara itu dijaga rapi oleh Dr Nisa Nabila Nasharudin sehingga tamat penggambaran. 

"Sebagai langkah pro-aktif mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, saya meminta pertolongan anak saudara saya yang juga seorang doktor.

"Bermula hari ini dia akan berada di set penggambaran setiap hari bagi memastikan keadaan kesihatan pelakon dan kru produksi sentiasa sihat. Jadi, setiap pagi sebelum memulakan penggambaran Dr Nisa akan mengambil suhu badan setiap pelakon dan kru produksi selain memastikan mereka mengikut segala prosedur yang ditetapkan kerajaan.

"Langkah ini dibuat bagi memastikan semua pihak yang terbabit tidak berasa takut atau bimbang dengan keadaan kesihatan diri mereka. Saya juga ingin memastikan bahawa mereka yakin untuk memulakan hari baru di set penggambaran," katanya.

Suriyati berkata, dia juga membeli peralatan nyah cemar iaitu mesin semburan disinfeksi untuk disembur di seluruh badan kru dan peralatan penggambaran.

"Alat ini akan disembur kepada setiap indvidu yang terbabit dalam penggambaran ini. Ia digunakan untuk proses nyah kuman dan menjaga kebersihan diri.

"Selain itu, ia juga disembur di beberapa kawasan yang digunakan untuk penggambaran serta peralatan penggambaran. Saya bersyukur penggambaran dapat kembali bermula selepas lebih tiga bulan ditangguhkan. Insha-Allah drama bersiri ini akan ditayangkan bulan depan di TV3," katanya.

Pink Smile dibintangi barisan pelakon popular seperti Fattah Amin, Sweet Qismina, Afifah Nasir, Farhan Asri, Intan Najuwa dan Syafi DFKL.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 10:13 PM