FINAS
FINAS
Ridzuan Abdul Rahman


PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bertindak proaktif apabila merangka perkara penting berkaitan pembangunan industri filem dan pemerkasaan ekonomi penggiat seni.

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid dalam satu kenyataan berkata, empat perkara utama ditekankan oleh Finas bagi tujuan ini.

Zakaria berkata, dalam mesyuarat yang dipengerusikannya semalam, Finas menyusun langkah jangka pendek tiga bulan ini di mana usaha khusus akan disegerakan iaitu merangsang semula ekonomi industri melalui aktiviti pengeluaran filem dengan mengusahakan kebenaran bersyarat bagi aktiviti penggambaran mengikut

Prosedur Operasi Standard (SOP).

"Finas juga akan mempercepatkan proses penyaluran dana di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) serta penstrukturan semula Insentif Penggambaran di Malaysia kepada sektor domestik.

"Ini termasuk menyediakan insentif khas kepada penggiat industri Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) melalui pemberian diskaun 50 peratus bagi sewaan fasiliti, peralatan produksi dan pembelian 'footage' di bawah Finas untuk penggunaan bernilai RM1,000 dan ke atas," katanya.

Menurutnya, Finas akan membantu karyawan dan penggiat industri yang uzur, sakit, kurang upaya dan tidak berkemampuan dengan bantuan kebajikan di mana data para penggiat akan dikemaskini bagi tujuan penyaluran.

"Selain itu, kami akan memperkukuhkan kerjasama industri di antara Finas dan pemegang taruh melalui penubuhan jawatankuasa kerja yang akan diketuai seorang ahli Perbadanan serta dianggotai lima wakil pemegang taruh industri yang akan memberi fokus kepada portfolio," katanya.

Pecahan portfolio ini meletakkan Timbalan Pengerusi Finas, Datuk Norman Abdul Halim menguruskan Pembangunan Industri, Pemasaran Antarabangsa & Kandungan Animasi, Datuk Prof Dr. Abdul Razak Mohaideen (Akreditasi, Latihan Kemahiran & Pembangunan Modal Insan), Datuk Seri Eizlan Yusof (Hal Ehwal Warga Industri & Kebajikan), Ku Muhammad Haris Ku Sulong (Kandungan Filem Festival, Dokumentari & Iklan) dan R Denes Kumar (Kandungan Bahasa Tamil & Pasaran India).

Turut tersenarai ialah Lina Tan (Kandungan Bahasa Mandarin & Pasaran Cina), Datuk Norhyati Ismail (Pembangunan Industri Sarawak), Dr Rose Patsy Tibok (Pembangunan Industri Sabah), Siti Juriani Jalaluddin (Audit & Integriti) dan Mohammad Diah Wahari (Penyelaras KPI untuk Ahli Perbadanan, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pegawai Kanan).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 4:09 PM