RAJA Jastina Arshad. FOTO Khairul Azhar Ahmad
RAJA Jastina Arshad. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Norhayati Nordin

 

ARUS kemodenan dinikmati dalam negara kini mendorong penayangan filem dengan konsep baharu melalui saluran berbayar seperti Astro First terus ke rumah.

Dengan tawaran pakej harga berpatutan untuk tayangan filem tempatan, Astro dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) bersama mencari jalan penyelesaian yang berkesan untuk menjana semula ekonomi dalam industri hiburan.

Sebagai bukti kejayaan, tayangan filem Syif Malam Raya yang disiarkan Astro First pada minggu pertama sambutan Aidilfitri  berjaya mengutip RM3 juta dalam tempoh 10 hari tayangan.

Kejayaan juga turut berpihak untuk filem Manap Karaoke arahan Mamat Khalid yang disiar Astro First pada 7 Mei dan berjaya mencatat kutipan sekitar RM1 juta di atas sambutan positif penonton.

Penerbit Syif Malam Raya, Ahmad Fuzi Mansor berkata dia sangat terharu dan bersyukur dengan sambutan baik yang luar biasa diberi penonton terhadap filem berkenaan.

"Sebagai penerbit baharu dan pemain industri yang giat menimba pengalaman, Ray Theme Sdn Bhd sangat berterima kasih kepada penonton dan Astro First yang menyediakan platform.

"Walaupun pada asalnya filem ini dijadualkan untuk tayangan pawagam, tetapi kemunculan wabak Covid-19 yang menular pantas dalam negara memang  tidak dijangka," katanya.

Menurut Ahmad Fuzi, selaku penerbit dia reda dengan situasi semasa Covid-19  yang belum lagi pulih. Malah dia berharap semoga usaha memerangi Covid-19 yang giat dilakukan kini menemui kejayaan.

Bagi Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata pihaknya melihat langkah dilakukan itu sudah membuka ruang buat penerbit filem tempatan untuk membawa produk mereka ditayangkan buat kali pertama terus ke pawagam rumah penonton

"Menerusi platform di Astro First, pihak kami semakin komited untuk membawakan beberapa filem tempatan lain yang dilihat berpotensi sebagai antara karya terbaik dihasilkan.

"Berpaksi lebih 5.6 juta pelanggan di rumah, penonton akan berpeluang menikmati dua lagi filem tempatan baharu iaitu Ada Apa Dengan Dosa dan Town Mall tidak lama lagi," katanya.

Menurut Raja Jastina, melalui kaedah tayangan di Astro First yang diperkenalkan sudah terbukti menjadi inisiatif perintis jalan yang positif untuk membantu menjana semula ekonomi industri perfileman tanah air yang terjejas teruk akibat Covid-19.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 4:25 PM