Ezlynn
Ezlynn
Ridzuan Abdul Rahman

 

   PENYANYI, Ezlynn yang sudah berhijab menyifatkan dirinya sedang melalui fasa baharu dalam hidup.

   Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 38, berkata, dia juga berhasrat mahu mengurangkan aktiviti nyanyian berbanding sebelum ini.

   "Kalau ada tawaran, adalah. Kalau tiada tawaran saya tak mencari. Ketika Ramadan tahun lalu, saya tampil bertudung menyanyikan single terbaru berjudul Goyang dalam program Muzik Muzik. 

   "Biasalah apabila pakai tudung pergerakan pun kenalah sopan. Kalau dipanggil menyanyi selepas ini saya pasti akan menjaga penampilan. 

   "Memandangkan saya sudah habis kontrak dengan syarikat rakaman Warner Music Malaysia, saya mahu buat projek dengan Waheeda Wassini selepas ini. Kami nak buat lagu berkonsepkan ketuhanan dan nasihat. Insya Allah, projek ini akan diteruskan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat," katanya.

   Bercerita berkenaan penghijran itu, Ezlynn berkata, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan. 

   "Sebenarnya, sejak tiga tahun lalu saya pasti akan bertudung srtiap kali tibanya Ramadan.

   "Kali ini terdetik perasaan, inilah masa untuk saya pakai tudung sepenuhnya. Alhamdulillah, setakat ini tak rasa berat atau susah kerana saya dah mulakan secara perlahan-lahan. 

   "Perubahan ini dibuat kerana Allah SWT dan bukan kerana kejadian apa-apa. Niat dari dulu lagi nak bertudung. Cuma kekuatan datang pada Ramadan kali ini," katanya. 

   Menurutnya lagi, dia juga sering mengenakan tudung ke mana-mana acara yang memerlukannya berbuat demikian sebagai tanda menghormati majlis.

   "Setakat ini reaksi semua pihak dengan imej baharu saya sangat positif. Mereka sukakannya dan kata saya lagi cantik dan berseri dengan penampilan sebegini.

   "Ikutkan, saya juga pernah berlakon dalam drama 30 Juzuk Cinta terbitan Layar Sutera yang memerlukan saya bertudung," katanya. 

   Diusik adakah ia membawa maksud persediaan untuknya kembali bergelar isteri, Ezlynn berkata dia masih single tanpa terikat dengan mana-mana lelaki.

   "Buat masa ini saya memang tiada pasangan kerana mahu fokus dengan kerja sukarela Angkatan Pertahanan Awam. 

   "Saya tiada masa nak fikir jodoh. Saya senang dengan apa yang dilalui. InsyaAllah semoga Allah permudahkan jalan dan kuatkan hati saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 8:13 PM