Gambar Yuna di New York lagi.
Gambar Yuna di New York lagi.
Georgie Joseph


PENYANYI popular Yuna terharu apabila wajahnya terus terpampang di papan iklan gergasi di beberapa kawasan sekitar New York, Amerika Syarikat (AS) untuk kempen meraikan rakyat Asia anjuran platform penstriman popular, Spotify.

Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai berkata, dia berbangga menjadi wajah kepada Asia yang terus mendapat penghargaan di sana.

"Lihat mak, saya ada merata-rata di NY (New York). Meraikan bulan Asian American & Pacific Islander Heritage bersama Spotify. Terima kasih Spotify kerana sentiasa memilih saya menjadi sebahagian daripada bulan istimewa ini. Saya sangat bangga menjadi warga Asia.

"Saya harap saya berada di sana untuk menyaksikannya sendiri. Saya kerap terlepas menyaksikanya apabila papan iklan saya di New York. Jaga keselamatan semuanya," kata penyanyi yang berpangkalan di Los Angeles, AS itu menerusi Instagram.

Terdahulu, foto Yuna pernah terpampang di lokasi ikonik, Times Square, New York selepas dipilih syarikat terkenal NASDAQ yang memaparkan ikon muzik pada November 2016.

Tahun lalu, sebuah papan iklan lampu diod pancaran cahaya (LED) di lokasi sama turut memaparkan wajahnya bersempena pelancaran album, Rouge.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 5:30 PM