Najiy Jefri


SENTIASA berusaha untuk membahagiakan ibu tercinta dan mengubah nasib keluarga adalah ungkapan yang sering diluahkan Allahyarham Abam sewaktu hayatnya masih hidup.

Pemergian insan seni berbakat besar pada 10 Februari lalu adalah satu kejutan kepada seluruh ahli keluarga termasuk industri hiburan tempatan.

Adiknya yang juga pelawak Ali Puteh berkata, dia tidak menyangka Ramadan tahun lalu juga adalah Ramadan terakhir mereka sekeluarga bersama.

"Saya pernah bertanya kepada arwah antara saya dan dia siapa yang akan pergi dulu. Namun arwah hanya cakap siapa yang mati dulu bukan persoalannya, apa lebih penting adalah kita perlu berjaya bantu keluarga terutama mak. Arwah orang yang cukup disenangi semua orang tapi tak sangka puasa tahun lepas adalah Ramadan terakhir kami bersamanya.

"Tahun ini kami tidak dapat berbuka puasa bersama. Hanya kerinduan saja menemani. Malah puasa tahun ini juga sepi apabila tiada lagi keletah arwah di depan kami sewaktu berbuka puasa," katanya.

Menurut Ali, membantu keluarga berniaga di Bazar Ramadan Taman Samudera, Gombak sejak di bangku sekolah antara kenangan yang tidak dapat dilupakan dengan arwah setiap kali tiba Ramadan. 

"Macam-macam perkara terjadi ketika saya dan arwah membantu mak dulu. Paling sedih bila hujan lebat semua makanan yang dijual tak habis.

"Jadi kami sedekah di surau atau masjid berdekatan. Bayangkan modal RM500, tapi disebabkan hujan kami terpaksa menanggung rugi. Lebih menyedihkan kami tiada modal untuk berniaga keesokannya. Tapi itu semua lumrah berniaga dan kami percaya rezeki dari Allah. Sepanjang membantu mak di bazar kami tak pernah berbuka di rumah," katanya.

Menurut Ali, selepas mereka dikenali sebagai pelawak setiap tahun mereka akan menyediakan bubur lambuk untuk sedekah.

"Setiap tahun kami akan buat bubur lambuk bersama dan agihkan kepada semua yang lalu depan rumah. Ketika itu jalan depan rumah sesak sebab kami agih bubur lambuk secara percuma. Itu sudah menjadi acara wajib setiap tahun selepas kami berjaya.

"Tapi tahun ini tak sama macam dulu. Selepas arwah tiada, ibarat pincang sebelah kaki kami sekeluarga. Arwah dan saya sangat rapat sebab semuanya kami usahakan untuk berjaya dan bantu keluarga," katanya.

Pada 10 Februari lalu, Abam yang juga anggota kumpulan Bocey meninggal dunia secara mengejut di kediamannya dan ketika pengebumian lebih 2,000 orang mengiringi jenazahnya dari masjid hingga ke tanah perkuburan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 5:27 PM