ANTARA pelakon yang terbabit dalam Hero musim kedua.
ANTARA pelakon yang terbabit dalam Hero musim kedua.
Ridzuan Abdul Rahman


SAMBUTAN hebat peminat terhadap drama bersiri, Hero yang disiarkan menerusi TV2 pada 2016 sudah dijangka kerana ia menceritakan kisah kehidupan sebenar seorang anggota bomba.

Apatah lagi drama berkisarkan kehidupan mereka yang bersabung nyawa demi memastikan keselamatan rakyat Malaysia ini disiarkan ketika anggota bomba berdepan pelbagai tragedi.

Barisan pelakon terbabit dalam drama arahan Bade Azmi ketika itu adalah Sharnaaz Ahmad, Tiz Zaqyah, Fezrul Khan, Mimi Ernida, Rusdi Ramli, Tengku Fiella Afzan Rahman dan Akmal Rahman.

Disebabkan sambutan baik itu mendorong penerbitnya, NS Star Sdn Bhd menerbitkan Hero musim kedua yang disiarkan menerusi TV2 bermula 7 April.

Pengarah Urusan NS Star, Naszreen Ngasri atau Darling berkata, kali ini pihaknya menghasilkan 26 episod yang berdurasi selama sejam.

“Setiap episod membawa judul yang berbeza namun mempunyai kesinambungan dari segi jalan cerita.

“Sekali lagi, ia menjadi kerjasama NS Star Sdn Bhd bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas Hero musim pertama, Novel dan filem Hero.

“Menariknya, musim kedua sangat berbeza kerana menampilkan jalan cerita, setting dan barisan pelakon yang berbeza,” katanya.

Menurutnya, walaupun jalan ceritanya tiada kena mengena dengan musim pertama, mereka tetap mengekalkan tajuk dan jenama Hero itu.

DRAMA berkisar dunia bomba kembali untuk musim kedua dengan pelakon baharu, pendekatan lebih segar
DRAMA berkisar dunia bomba kembali untuk musim kedua dengan pelakon baharu, pendekatan lebih segar

“Ini memberikan pendekatan baharu yang lebih segar, di samping mengambil pelakon baharu yang lebih relevan dengan pasaran dan kehendak peminat terkini.

“Selain aksi kebombaan, musim kedua menyentuh elemen kekeluargaan, cinta dan komedi yang kurang didedahkan pada musim pertama.

“Ia bagi menambahkan lebih impak dalam penceritaan dan menjadi tarikan untuk tontonan semua lapisan masyarakat,” katanya.

Menerusi setiap episod, penonton dapat menyaksikan kisah peribadi melalui perwatakan menarik dan lucu yang mewarnai kehidupan harian anggota bomba.

“Apa pun, fokus tetap diberikan kepada kes tugasan yang pernah berlaku.

“Melalui fail jabatan bomba, kisah unik dan menarik yang pernah terjadi, didedahkan untuk memberikan gambaran jelas berkenaan tugas sebenar yang digalas anggota bomba.

“Drama ini adalah platform untuk masyarakat menghayati pengorbanan pegawai dan anggota bomba yang sentiasa memberi komitmen dalam tugas memadam api serta menyelamat tanpa mengira kepentingan peribadi,” katanya.

Drama Hero tampil dengan kelainan apabila menjadi drama bersiri aksi bomba pertama di Malaysia yang membabitkan letupan, kebakaran dan pergelutan nyawa.

Hero musim kedua di bawah arahan, Jo Yusof menampilkan barisan pelakon seperti Redza Rosli, Sarah Hildebrand, Aidil Aziz, Riz Amin, Oktovia Manrose, Shah Havzee, Anne Ngasri, Naim Shamsol, Shaharudin Thamby dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 6:30 AM