Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan PKAVM, Datuk Tommie Tumiran menyumbangkan barangan keperluan dan cerek elektrik kepada Alina.
Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan PKAVM, Datuk Tommie Tumiran menyumbangkan barangan keperluan dan cerek elektrik kepada Alina.
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Alina Hassan, 52, yang juga peserta Mentor Otai meneruskan kehidupannya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu dengan mengambil upah membeli barangan keperluan harian bagi penduduk di sekitar tempat tinggalnya yang terletak di Setapak.

Alina ketika dihubungi berkata, dia tidak memiliki kenderaan mengerah keringat untuk menghantar barang yang dipesan sebaliknya hanya berjalan kaki lebih dua kilometer setiap hari.

"Setiap hari, saya ambil upah untuk membeli barang dapur. Mujurlah di bawah rumah saya ada pasar mini yang dibuka sebelum berjalan kaki lebih dua kilometer ke kawasan sekitar untuk menghantar pesanan.

"Alhamdulillah, tempat tinggal saya ada banyak kawasan perumahan dan apartment. Jadi, ramai yang membuat pesanan menerusi aplikasi WhatsApp meminta saya belikan barang untuk mereka," katanya kepada Harian Metro.

Alina berkata, pendapatannya mencukupi untuknya membeli nasi bungkus bagi mengisi perut.

"Alhamdulillah, pendapatan yang saya dapat daripada mengambil upah ini mencukupi. Tidaklah mewah atau apa, tapi cukuplah untuk saya beli sebungkus nasi bungkus kerana sehari, saya cuma makan sekali saja.

"Selagi saya masih kuat untuk bekerja, saya akan terus bekerja," katanya.

Setiap hari, pemenang tempat ketiga program Mentor Otai 2018 itu membeli barang yang dipesan pada sebelah pagi dan petang.

Sebelum PKP dilaksanakan akibat penularan wabak pandemik Covid-19, Alina bekerja sebagai tukar cuci, mengambil upah mencuci dan melipat pakaian serta mengasuh selain masih menerima undangan nyanyian.

"Untuk persembahan, ada tiga tawaran yang terpaksa dibatalkan. Selain menyanyi, saya ada ambil upah cuci, lipat baju dan mengasuh.

"Pada awalnya, saya cuma ikut kawan saja, tapi bila sudah lama-lama, rasa seronok pula. Jadi, saya teruskan untuk mencuci dan melipat baju pelanggan," katanya.

Semalam, Alina menerima sumbangan barangan keperluan daripada Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM).

"Alhamdulillah, piha PKAVM datang berikan sedikit sumbangan termasulah satu cerek elektrik untuk memudahkan saya memasak mi segera memandangkan bilik sewa saya tidak ada dapur sendiri dan kena berkongsi.

"Sejujurnya, kalau boleh tak mahu ambil sumbangan, bukan kerana saya sombong, tapi biarlah ia diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan.

"Saya hidup sendirian. Menyewa bilik di satu kawasan rumah kedai di sini. Jadi, ada mi segera, biskut dan kopi pun sudah mencukupi. Ramai lagi orang lain yang ada anak ramai dan sangat memerlukan," katanya.

Alina juga meminta masyarakat tidak menghakimi seseorang yang kurang berkemampuan dan menganggap dia tidak pernah membuat simpanan.

"Kita tak boleh menghakimi seseorang kerana kita tak tahu apa yang dilalui. Saya pernah ada duit banyak, tapi saya gunakan untuk bayar hutang.

"Tapi, tak mengapa sebab sekurang-kurangnya, sekarang saya bebas daripada hutang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 8:02 PM