NABILA Huda
NABILA Huda
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON popular, Nabila Huda mengambil pendekatan berbeza dalam menasihati rakan terutama yang masih degil dan ingkar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Nabila, 36, berkata, dia mengajak kepada rakan itu ‘bercuti’ di hospital dan penjara.

“Saya nak beritahu pada rakan yang suka keluar rumah dan tanpa sebab. Tidak mengapa, jangan duduk rumah. Jadi, saya nak ajak anda pergi bercuti dengan daftar masuk di hospital. Seronokkan?

“Sebab di sana nanti tentu ada virus. Doktor suntik dengan jarum besar dan ambil darah. Kemudian buat pemeriksaan ujian dari hidung sampai tekak. Ya, anda teruja nak ‘check in’ hospital?

“Nak beritahu juga pada kawan-kawan yang suka langgar perintah, tidak apa. Langar saja. Pergi ja, benda kecil ja,” katanya.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di Instagram, Nabila yang juga pelakon filem M4M4 (Mama) turut memberi gambaran betapa ‘indahnya’ bercuti dalam penjara.

“Saya tahu semua rindu nak bercuti. Sebab itu saya ajak ‘check in’ di penjara. Menarik tau. Saya dengar cerita, di sana, masuk saja kena tukar baju ungu atau oren, kalau tak silap dan kena pakai selipar.

“Masuk dalam, keadaan bangunan usang, gelap. Masuk jel pula, tidak ada tilam, bantal, TV, telefon. Menarik kan?

“Tandas pun kongsi dan cuci sendiri. Tak pernah lagi tau bercuti cuci tandas sendiri. Saya pasti ibu bapa anda akan bangga sebab pandai cuci tandas sendiri. Jadi, kepada kawan-kawan saya, jangan duduk di rumah,” katanya.

Video yang dimuat naik itu mendapat pujian dan maklum balas positif daripada peminat dan rakan artis yang menyifatkan ia nasihat yang bagus daripada Nabila.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 4:44 PM