OGY  berbesar hati apabila pengarah terkenal, Mamat Khalid menyatakan hasrat bekerjasama dalam filem Classmate Hantu Kak Limah, Hantu Kak Roziah.
OGY berbesar hati apabila pengarah terkenal, Mamat Khalid menyatakan hasrat bekerjasama dalam filem Classmate Hantu Kak Limah, Hantu Kak Roziah.
Sudirman Mohd Tahir


SENIWATI, Fauziah Ahmad Daud berbesar hati apabila pengarah terkenal, Mamat Khalid menyatakan hasrat bekerjasama dalam filem Classmate Hantu Kak Limah, Hantu Kak Roziah.

Mamat menerusi Harian Metro berkata, dia kini dalam usaha untuk merisik Fauziah atau mesra disapa Ogy agar bersetuju melakonkan watak Kak Roziah.

Ogy ketika dihubungi berkata, dia sangat menghormati Mamat dan terbuka berlakon di bawah arahan pengarah terbaik itu.

"Siapa tak nak kerjasama dengan Abang Mamat. Dia seorang pengarah tersohor dan amat menghormatinya.

"Jika tawaran datang, seperti biasa saya akan baca skrip dahulu. Orang kata, pucuk dicita ulam mendatang. Insya-Allah, jika ada jodoh takkan ke mana," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ogy, dia tabik dengan kreativiti Mamat apabila membayangkan dirinya ketika menulis skrip bagi watak itu.

"Saya tahu setiap karyanya macam mana. Saya tidak dapat membayangkan tahap jenaka macam mana dalam skrip ini. Apa yang pasti mesti kelakar.

"Saya juga perlu tukar dan bawa diri ke tahap berbeza. Dari situ baru boleh tahu kemampuan kita macam mana.

"Sebelum ini dia tak pernah tawarkan saya berlakon. Mungkin kali ini dia mahu memberikan sesuatu menerusi watak ini selain ingin menghargai bakat saya. Sudah tentu dia juga tidak mahu persiakan watak itu begitu saja," katanya.

Difahamkan skrip Classmate Hantu Kak Limah, Hantu Kak Roziah sudah siap sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 5:08 PM