ABAM. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
ABAM. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Norhayati Nordin


BEGITU pantas masa berlalu, esok genap sebulan Allahyarham Abam Bocey meninggal dunia dan kehilangannya masih lagi dirasai ramai hingga kini.

Malah, insan yang sangat merindui arwah pastinya isteri, anak, adik-beradik dan paling terkesan dengan kehilangannya adalah ibu tercinta, Sabariah Arshad, 63.

Adik arwah, Ali Puteh berkata kerinduan dirasakannya dan keluarga terutama ibu tidak pernah sedikit pun berkurang dan Allahyarham sentiasa dalam ingatan.

“Kami sekeluarga masih merinduinya. Apatah lagi, ibu masih teringat pada arwah abang dan doa buatnya akan berterusan daripada kami.

“Malah, hingga kini kawasan kubur arwah abang masih dikunjungi orang ramai dan tanahnya sentiasa basah. Terima kasih kepada yang menziarah,” katanya.

Ali dihubungi Harian Metro kini sibuk dengan aktiviti kerjaya seni bersama kumpulan Puteh. Katanya, majlis tahlil dijangka diadakan pada 40 hari.

Sekitar dua hari lalu, Ali memuat naik foto dia ketika kecil bersama arwah Abam di Instagram dengan menulis kapsyen yang begitu menyentuh perasaan.

“Andai dapat ku undur kan putaran dunia.. kiri itu saya.. kanan tu arwah Abam.. abang! Angah rindu abanglah.. mak rindu abang.. along rindu abang.. adik rindu abang.. tunggu kami di sana ye abang,” katanya.

FOTO Ali ketika kecil bersama arwah Abam di Instagram. FOTO IG aliputehofficial
FOTO Ali ketika kecil bersama arwah Abam di Instagram. FOTO IG aliputehofficial

Menerusi perkongsian itu, lebih 10, 0000 pengikut memberi tanda suka dengan lebih 300 komen ditulis. Pun begitu, kebanyakan warganet pada kalangan pengikut Instagram Ali meminta dia terus tabah, cekal dan sabar.

Sehubungan itu, Allahyarham Abam atau nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Ridzuan, 32, meninggal dunia di kediamannya di Gombak pada 10 Februari lalu.

Arwah meninggalkan balu, Nor Hidayah Mohd Ali, 28 dan seorang anak lelaki Syed Uthman Hamzah Al Juffrey yang kini berusia sembilan bulan.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak dan jenazahnya diiringi lebih 2,000 orang dari masjid hingga ke tempat persemadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 6:31 PM