MUNCUL dengan imej yang matang seiring usia.
MUNCUL dengan imej yang matang seiring usia.
Norhayati Nordin

BERBAKAT sebagai penari, pelakon dan penyanyi diakui anugerah terindah untuk Arja Lee, 36, yang diberikan Allah SWT buatnya.

Sudah 13 tahun berkecimpung dalam kerjaya seni, Arja berkata, dia juga berhadapan pasang surut kehidupan sebagai selebriti.

“Matang dengan pengalaman ditimba selama ini, saya yakin untuk menjadi penggiat seni dikagumi perlu ada ilmu pengetahuan yang luas.

“Dengan ilmu dimiliki, secara tidak langsung akan membantu cara pemikiran untuk lebih positif dan tidak terdorong melakukan tindakan kurang bijak,” katanya.

Arja atau nama sebenarnya Azharudin Ramli kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Seni di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

Mengulas kehidupannya sebagai mahasiswa, Arja berkata, dia sangat selesa dan paling utama jiwanya begitu tenang.

“Walaupun kehidupan sebagai pelajar memerlukan saya hadiri kelas termasuk menyiapkan tugasan tertentu, ia perkara begitu menyeronokkan.

“Ini kerana masa saya lebih fokus diisi dengan banyak perkara berfaedah menjurus pada menimba ilmu. Jadi, sangat menyenangkan,” katanya.

Berbicara juga kerjaya lakonannya, Arja berkata, dia masih mendapat tawaran, cuma mempertimbangkan yang sesuai. Namun, keutamaannya kini adalah untuk belajar.

“Apapun, saya baru juga muncul dengan drama Pesan Pada Hati untuk slot Lestary di TV3 sebagai watak jahat. Hingga kini saya masih tidak bersikap terlalu cerewet memilih watak. Bagaimanapun, saya akan pastikan watak itu benar-benar sesuai,” katanya.

Bersikap terbuka menerima kritikan dan kecaman warganet, Arja berkata, dia sudah lali. Kini, menjadi azamnya untuk tidak lagi dipalit dengan cerita sensasi dan kontroversi.

“Sebagai pelajar, penting juga bagi saya menjaga imej diri. Justeru, saya nekad tidak mahu lagi dipalit gosip atau kontroversi yang boleh mencemarkan nama baik.

“Cukup-cukuplah dengan kontroversi yang pernah saya lalui sebelum ini dan ia begitu memalukan. Saya kesal sudah melakukannya.

“Sekarang adalah masa saya menutup segala kisah dan buku lama. Kini, saya muncul dengan imej Arja Lee yang matang seiring usia,” katanya.

Selain sibuk dengan pengajian di universiti, Arja juga menceburi perniagaan dengan membuka Arja Art Academy yang beroperasi sejak tiga bulan lalu.

Selain itu, Arja kini bersaing untuk minggu keempat di pentas acara Dansa Dan Sing bersama kumpulan penarinya dikenali, The Pirates.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 6:10 AM