AHMAD Izham (berdiri tiga dari kiri) bersama Presiden Redbeat Ventures AirAsia, Aireen Omar (kiri) dan Lalitha di majlis pelancaran Ejen Ali misi Ourshop bersama AirAsia di Lot 10 Bukit Bintang. FOTO Zunnur Al Shafiq
AHMAD Izham (berdiri tiga dari kiri) bersama Presiden Redbeat Ventures AirAsia, Aireen Omar (kiri) dan Lalitha di majlis pelancaran Ejen Ali misi Ourshop bersama AirAsia di Lot 10 Bukit Bintang. FOTO Zunnur Al Shafiq
Syanty Octavia Amry


EJEN Ali sekali lagi berkolaborasi dengan AirAsia dalam membawa jenama berkenaan ke peringkat antarabangsa menerusi perniagaan secara e-dagang.

Menerusi platform yang diberi nama Ourshop, peminat setia Ejen Ali boleh mendapatkan lebih 20 koleksi barangan disediakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, berikutan kejayaan #MisiAspirasiAirAsia yang diadakan pada 2017 dan 2018, pihaknya teruja apabila diberi kepercayaan sekali lagi untuk bekerjasama dengan AirAsia.

“Kami teruja atas kerjasama yang dijalinkan ia turut memberi peluang kepada peminat Ejen Ali di luar Malaysia untuk mendapatkan barangan eksklusif ini.

“Mereka boleh mendapatkan barangan Ejen Ali menerusi pembelian di Ourshop dan barangan boleh dituntut sama ada di dalam pesawat AirAsia, lapangan terbang atau penghantaran terus ke rumah,” katanya pada majlis pelancaran kedai pop-up Ourshop di pusat beli-belah Lot 10, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini.

Izham berkata, kedai pop-up itu adalah sebagai pengenalan Ourshop kepada orang ramai dan sudah pun dibuka sejak 12 Disember lalu hingga 1 Januari ini.

Sehingga semalam, Ejen Ali The Movie berjaya mendapat kutipan sebanyak RM29.3 juta sejak ditayangkan pada 28 November lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ourshop, Lalitha Sivanaser berkata, pihaknya teruja dan berbesar hati dalam memasarkan koleksi barangan Ejen Ali.

“Di Ourshop kami menjual banyak produk tempatan kerana ia adalah misi kami dalam menyokong produk tempatan.

“Ini juga turut membuka peluang kepada produk tempatan lain termasuklah jenama Ejen Ali yang kini semakin mengembangkan sayap mereka ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Ourshop turut merasmikan perkhidmatan penghantaran ke rumah di mana sebelum ini pembeli hanya boleh mendapatkan barangan ketika pelanggan berada dalam pesawat AirAsia sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 5:58 PM