BRONT Palarae ketika tayangan filem Gundala di TGV, Suria KLCC. FOTO OWEE AH CHUN.
BRONT Palarae ketika tayangan filem Gundala di TGV, Suria KLCC. FOTO OWEE AH CHUN.
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON Bront Palarae mengharapkan tayangan filem adiwira Indonesia, Gundala di Malaysia akan memberikan inspirasi buat pembikin filem tempatan.

Bront yang melakonkan watak Pengkor dalam filem arahan Joko Anwar itu berkata, pembikin filem dan syarikat produksi tempatan perlu mengubah corak filem komersial dengan inti yang lebih ilmiah.

“Saya bawa filem ini masuk ke Malaysia kerana nak berikan idea dan inspirasi kepada pembikin filem tempatan untuk mengubah persepsi terhadap filem komersial.

“Sesetengah pembikin dan peminat filem komersial menganggap jika menonton filem komersial tak payah ‘bawa’ otak dan hati ke pawagam sedangkan ia sarat dengan mesej dan nilai,” katanya.

Menurutnya, walaupun Gundala adalah filem adiwira yang diadaptasi dari komik, ia menyentuh pelbagai sudut kehidupan.

“Sejarah filem komersial di Indonesia memang sejak dulu lagi sarat dengan pelbagai maklumat. Dalam Gundala, ia tidak hanya berkisar mengenai adiwira itu sahaja, sebaliknya menyentuh beberapa isu yang relevan dengan dunia hari ini seperti rasuah politik dan moral sosial,” katanya dalam sidang media mengenai filem itu.

Hadir sama, pengarahnya Joko Anwar dan pelakon seperti Abimana Aryasatya, Ario Bayu dan Muzakki Ramdhan.

Di Malaysia, Gundala mula ditayangkan bermula 26 Disember 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 9:16 AM