UPIN & IPIN
UPIN & IPIN
Georgie Joseph


LES’ COPAQUE Productions yang menerbitkan siri animasi popular Upin & Ipin sejak 2009 tidak bercadang untuk mengubah konsep animasi itu walaupun segelintir warganet membangkitkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa watak dalam siri itu.

Pengarah Kandungan Kreatifnya, Nur Naquyah Burhanuddin berkata, mereka akan terus mengguna pakai idea asal animasi berkenaan berikutan identitinya sudah diterima jutaan pengikut di seluruh dunia.

“Kami tidak akan mengubah apa-apa dan terus mengekalkan pendekatan yang ada sekarang. Apa yang kami tonjolkan adalah identiti di Malaysia yang realistik, baik berkisar orang kampung, kembar dan masyarakat majmuk.

“Tidak perlu rasanya untuk bertekak dengan segelintir warganet yang mengutarakan isu dari sudut pandangan negatif mereka. Sebaliknya kami ucapkan terima kasih kerana nampaknya mereka sayangkan Upin & Ipin,” katanya.

Terdahulu, Upin & Ipin menjadi ‘trending’ di Twitter berikutan segelintir warganet meminta watak lelaki lembut, Sally dibuang serta menggunakan pelakon dalam kalangan kaum India untuk membawa watak orang India.

Mereka juga tidak mahu Upin dan Ipin menggunakan tagline ‘Betul, betul, betul’ yang disifatkan tidak comel selain tidak menggunakan kata ganti nama diri aku dan kau.

Selain itu watak Kak Ros yang suka menjerit-jerit juga tidak disukai.

Bagaimanapun, dalam masa sama, ramai turut mempertahankan siri animasi itu

Menurut Naquyah, dia mengakui isu penggunaan kata ganti nama diri aku dan kau yang kedengaran kasar sebenarnya sudah dibangkitkan penonton sejak animasi itu mula-mula diterbitkan dulu.

“Penggunaan bahasa diri sebegitu memang digunakan sejak era Allahyarham Tan Sri P Ramlee lagi. Itulah bahasa yang digunakan dalam pertuturan seharian.

“Begitu juga dalam Upin & Ipin di mana watak mereka hanya membahasakan diri aku dan kau dalam kalangan rakan-rakan. Apabila bercakap dengan orang lebih tua, mereka bahasakan diri menggunakan nama sebagai tanda hormat,” katanya.

Mengulas mengenai watak Sally sebagai lelaki lembut dan penggunaan suara latar yang tidak mengikut watak bangsa sebenar, Naquyah menjelaskan aspek itu perlu dipandang dengan positif.

“Kami tidak mahu menyisihkan sesiapa pun dalam konteks cerita masyarakat Malaysia termasuklah lelaki lembut. Golongan itu memang ada dalam masyarakat kita dan tidak semestinya semua terjebak dengan gejala negatif.

“Mengenai penggunaan suara terbabit pula, kami sentiasa mengalu-alukan bakat daripada pelbagai bangsa pun untuk melakukannya. Sekiranya bakat berbangsa Melayu boleh bertutur dengan baik loghat India, kami beri peluang dan sebaliknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 7:20 PM