AHMAD Izham (kanan) dan Ketua Pegawai Pemasaran, Huawei APAC, Samuel Huang (kiri) bersama lima pengarah filem yang menyertai Huawei Film Awards (dua dari kiri), Kroll Azry, Gavin Yap, Jess Teong, Tuan Faisal dan Nik Amir. FOTO Khairul Azhar Ahmad
AHMAD Izham (kanan) dan Ketua Pegawai Pemasaran, Huawei APAC, Samuel Huang (kiri) bersama lima pengarah filem yang menyertai Huawei Film Awards (dua dari kiri), Kroll Azry, Gavin Yap, Jess Teong, Tuan Faisal dan Nik Amir. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Syafil Syazwan Jefri


KETUA Pegawai Eksekutif Primeworks Studios (PWS), Datuk Ahmad Izham Omar menyuarakan keyakinannya dengan kemampuan pembikin filem hari ini untuk menghasilkan filem dengan hanya menggunakan telefon pintar.

Beliau berkata, pihaknya selaku penganjur acara kelolaan bersama Huawei Malaysia yakin, ramai pembikin filem yang ingin berkarya, namun tidak ada peluang.

"Semua orang ada bakat, namun tak semua orang berpeluang untuk masuk ke dalam industri perfileman tanah air.

"Jadi, sekarang dengan hanya menggunakan telefon pintar pun, mereka yang berbakat boleh menghasilkan karya filem," katanya ketika ditemui di sidang media Huawei Film Awards di Kuala Lumpur, hari ini.

Menerusi penganjuran acara Huawei Film Awards itu juga, pihaknya melihat PWS sebagai platform untuk pembikin filem mengembangkan lagi karya mereka.

"Kami di PWS sentiasa mencari idea baru dan karya segar. Secara tak langsung, kami juga boleh menjadi platform untuk pembikin filem dan penggiat seni mengembangkan karya mereka.

"Mungkin sekiranya ada idea dan karya yang berpotensi untuk pergi lebih jauh akan kami kembangkan sebagai filem, siri televisyen atau mungkin animasi," katanya.

Di sidang media itu juga dipertontonkan lima karya arahan lima pengarah, yang menggunakan telefon pintar Huawei Mate 30 Pro menggantikan kamera profesional.

Lima pengarah itu adalah Jess Teong, Gavin Yap, Kroll Azry, Tuan Faisal dan Nik Amir.

Penyertaan untuk peserta Malaysia kini dibuka dan peserta perlu menghantar karya filem pendek berdurasi lima hingga 10 minit bertemakan Empowering Your Possibilities.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada jam 11.59 malam, 25 Februari 2020 dan keputusan akan diumumkan pada 6 Mac 2020.

Filem Terbaik Asia Pasifik di Huawei Film Awards akan membawa pulang hadiah utama wang tunai AS$20,000 (RM82,000).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 9:33 PM