GAMBAR pertama Ali bersama isteri dan dua anaknya sebelum menjalani pembedahan. FOTO Instagram Ali Puteh
GAMBAR pertama Ali bersama isteri dan dua anaknya sebelum menjalani pembedahan. FOTO Instagram Ali Puteh
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


“SAYA rindu Adik (Ainul). Semoga Adik sentiasa datang dalam mimpi saya,” kata pelawak, Ali Puteh yang kehilangan anak keduanya, Sharifah Ainul Mardhiah yang berusia tiga bulan akibat masalah injap jantung terbalik dan jantung berlubang di Hospital Serdang, semalam.

Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan yang juga anggota kumpulan Puteh berkata, dia bersyukur meskipun Allah meminjamkan Ainul hanya tiga bulan.

Malah, Ali percaya itu adalah ketentuan Allah buat diri dan keluarga.

“Adik mesti sedang berlari-lari dan bermain-main di taman syurga Allah.

“Tunggu walid dan ibu di sana ya sayang. Perancangan Allah itu sangat hebat,” katanya.

Ali juga berkongsi, selepas 16 hari, doktor yang merawatnya membuat keputusan mencabut mesin bantuan pernafasan jam 10 pagi.

Ainul menghembuskan nafas terakhir, jam 11.30 pagi.

“Adik macam tahu dia dah nak ‘pergi’. Beberapa kali dia angkat tangan dan pandang kami sebelum dia pergi selamanya.

“Ketika dimaklumkan anak kami sudah tiada, hanya Allah saja tahu perasaan ini. Air mata ini tidak berhenti mengalir.

“Ketika dikafankan, saya beri peluang kepada anak sulung mencium adiknya. Saya beritahu, Adik sedang tidur dan akan pergi ke syurga,” katanya.

Terdahulu akhbar ini melaporkan Ainul dalam keadaan kritikal apabila bergantung sepenuhnya dengan mesin bantuan pernafasan.

Menurut Ali, keadaan itu selepas Ainul menjalani pembedahan berikutan ada masalah injap jantung terbalik.

Ainul yang dilahirkan pada 6 Ogos lalu disahkan menghidap jaundis dan dipindahkan ke Hospital Ampang selepas lima hari dilahirkan.

Selain Ainul, Ali turut mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia dua tahun, Sharifah Nur Aaira Qaireen.

Berita berkaitan

Anak Ali Puteh meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 9:47 PM