ALONG pernah ditawarkan RM500 untuk satu episod. FOTO Hafiz Sohaimi
ALONG pernah ditawarkan RM500 untuk satu episod. FOTO Hafiz Sohaimi
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON, Along Eyzendy, mengakui berkecil hati dengan industri drama tanah air dan pernah menerima tawaran dengan harga bayaran yang tidak setimpal.

Menurutnya yang sudah 13 tahun berkarya di dalam industri, dia bukanlah mahu disanjung, namun ingin sesetengah pihak menghormati mereka yang bekerja keras sejak sekian lama.

"Saya kurang berlakon drama sebab bayaran. Saya banyak berkecil hati dengan industri apabila ada yang menawarkan tawaran berlakon dengan bayaran terlalu rendah.

"Paling rendah, saya pernah ditawarkan RM500 untuk satu episod. Bukan saya nak minta disanjung, tapi tunjukkanlah sedikit rasa hormat," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, ada sesetengah pihak yang membuat tawaran di saat akhir.

"Ada juga yang tawarkan di saat akhir. Contohnya, esok nak ada penggambaran, malam ini baru nak hubungi saya. Tak kisah kalau saya adalah pilihan terakhir produksi, tapi biarlah ia kena dengan bayaran.

"Kalau sekadar RM250 sehari, saya terpaksa tolak secara baik. Saya tak mahu kalau buat kerja nanti, tak ada rasa ikhlas.

“Saya bekerja cari rezeki buat keluarga. Kalau tak ikhlas, rezeki itu jadi haram untuk saya beri anak makan," katanya.

Along juga meminta pihak yang berkaitan dan berada di peringkat atasan dalam industri untuk melihat isu itu.

"Kita perlukan orang atasan yang memantau dan melihat kerja keras orang bawahan dan ada rasa kemanusiaan. Selain mengenai harga, kualiti masa juga perlu dititikberatkan.

"Kita dah hidup di zaman moden dan banyak teknologi seperti kamera dan juga jadual yang lebih teratur. Kalau penggambaran selama 20 jam, biarlah bayarannya juga berpatutan," katanya.

Terbaru, Along kini mempromosikan filem seram komedi lakonannya berjudul Busut Bonang yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 19 Disember ini.

Selain Along, filem arahan pengarah Khalid Nadzri itu juga turut dibintangi Nadzmi Adhwa, Jasper Supayah, Rashidah Jaafar, Hairi Safwan, Abby Nadzri dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 8:01 PM